
Beliau menambah pelancaran FundMyHome 2 hari selepas pembentangan juga menunjuk kepada unsur-unsur kebocoran maklumat.
Namun begitu ahli majlis tertinggi PPBM itu berkata dia meletakkan kepercayaan pada “orang-orang pandai” yang bekerjasama dengan Lim dan agensi berkaitan.
“Saya serahkan kepda orang-orang pandai di Bank Negara dan Unit Perancang Ekonomi untuk merungkai hal ini. Cuma bagi saya jika masalah gaji rendah dan pendapatan diselesaikan, kita juga akan selesaikan masalah perumahan,” kata Kadir di blognya hari ini.
Kadir juga menyuarakan kebimbangan mengenai cara FundMyHome dilancarkan.
“Walaupun sudah menjadi kebiasaan bagi kerajaan untuk menerima cadangan daripada orang awam, cara pembiayaan ‘people-to-people’ didedahkan kepada orang ramai mendedahkan kerajaan keapda dakwaan kronisme dan nepotisme,” kata Kadir.
Beliau dipercayai merujuk kepada kenyataan taikun Datuk Tong Kooi Ong, yang berkata syarikatnya EdgeProp Sdn Bhd membentangkan cadangan skim FundMyHome kepada Putrajaya supaya ia boleh boleh dimasukkan ke dalam Belanjawan.
Dalam skim FundMyHome, pembeli membayar 20% daripada harga hartanah dan ia akan dimasukkan ke dalam satu akaun amanah untuk membayar pulangan pelaburan tahunan sebanyak 5% kepada institusi terlibat untuk tempoh 5 tahun.
Baki 80% itu akan disumbangkan oleh bank seperti Maybank dan CIMB. Untuk 5 tahun pertama, tidak ada bayaran balik bulanan. Selepas itu, pembeli sama ada menjual rumah itu, membeli bahagian hartanah yang tidak dimilikinya pada harga pasaran, atau membiayai semula rumah itu.
Pakar hartanah masih ragu-ragu terhadap skim itu dan mempersoalkan manfaatnya kepada pembeli.
Kadir berkata bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin juga menggelar mereka yang mendraf belanjawan itu “orang pandai”, dan memetik seorang pengurus dana dari Singapura yang memberi amaran skim itu boleh gagal lalu menyebabkan orang ramai kehilangan wang dan kerajaan dipaksa menyelamatkan mereka.
“Bercakap mengenai perumahan, isu sebenar adalah kemampuan. Harga melonjak naik tetapi pendapatan tidak. Pencatutan memburukkan lagi keadaan,” katanya.
Beliau mengakui dirinya daripada generasi lama yang belum sepenuhnya mendakap perbankan digital. “Saya masih belum meyakini perbankan dalam talian, biaya ramai dan penstoran ‘cloud’.”
Kadir berkata walaupun Lim boleh mengumumkan FundMyHome sebagai satu dasar, dia sewajarnya meminta cadangan “daripada seberapa banyak pihak yang mungkin” supaya kerajaan mempunyai lebih banyak pilihan.
“Sudah tentu kita mahu projek ini berjaya. Tetapi skim pendanaan sebegini pertama seumpamanya di dunia dan kita tidak boleh halang orang tertanya-tanya dan bertanya soalan,” katanya.