Himpunan PN tak cukup untuk guling Anwar, kata wartawan veteran

Himpunan PN tak cukup untuk guling Anwar, kata wartawan veteran

A Kadir Jasin berkata sehingga PRU16 diadakan, satu-satunya cara singkir perdana menteri ialah membuktikan beliau hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Wartawan veteran A Kadir Jasin berkata perhimpunan besar-besaran hanya akan menamatkan tempoh Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri jika ia menyebabkan Ahli Parlimen menyokongnya berpaling tadah.
PETALING JAYA:
Wartawan veteran, A Kadir Jasin berkata perhimpunan dirancang Perikatan Nasional pada 26 Julai ini tidak mungkin dapat menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, sehingga PRU16 diadakan, satu-satunya cara menyingkirkan Anwar ialah membuktikan beliau tidak lagi mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Segala perhimpunan, tunjuk perasaan dan perarakan tidak akan menjatuhkan Anwar, selagi majoriti Ahli Dewan Rakyat menyokong beliau.

“Jelajah ‘Turun Anwar’ lebih relevan kepada penentang-penentang beliau sebagai persediaan menghadapi PRU yang wajib diadakan sebelum 17 Feb 2028,” katanya dalam catatan Facebook.

Tetapi, beliau berkata, jika perhimpunan sedemikian menyebabkan sokongan Anwar di Dewan Rakyat merosot, kemungkinan beliau hilang majoriti dan terpaksa meletak jawatan tidak boleh ditolak.

PN merancang perhimpunan besar-besaran “Turun Anwar” di Dataran Merdeka pada 26 Julai ini untuk mendesak perdana menteri meletak jawatan. Penganjur menjangkakan sehingga 300,000 peserta, walaupun bantahan sama di Shah Alam awal bulan ini hanya disertai lebih 300 orang.

Semalam, Anwar mencabar pengkritiknya mengemukakan undi tidak percaya di Dewan Rakyat, jika mereka mahu mengambil alih Putrajaya.

Katanya, mereka yang ingin menjatuhkan kerajaan perlu mengikut proses sewajarnya dan menunggu sehingga PRU16 diadakan, jika tidak mendapat sokongan untuk usul undi tidak percaya di Parlimen.

Kadir turut merujuk ucapan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad pada Himpunan Mandat Negarawan PN di Stadium Sultan Abdul Halim Khamis lalu, di mana negarawan berusia 100 tahun itu berkata perdana menteri boleh disingkirkan tanpa perlu menunggu PRU.

“Natijahnya, menaikkan dan menjatuhkan perdana menteri tanpa melalui proses pilihan raya bukanlah perkara luar biasa.”

Kadir berkata, PRU bukan untuk memilih perdana menteri atau parti politik, tetapi untuk rakyat memilih Ahli Parlimen mereka dan seorang daripada kalangan Ahli Parlimen itu kemudian dilantik sebagai perdana menteri.

“Perdana menteri boleh dipecat dan digantikan pada bila-bila masa atas kehendak majoriti Ahli Dewan Rakyat atau kerana melakukan jenayah besar.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.