Jangan memanjakan orang Melayu-Islam, tegur Kadir Jasin

Jangan memanjakan orang Melayu-Islam, tegur Kadir Jasin

Bekas penasihat kepada Dr Mahathir Mohamad berkata menjaga akidah adalah tanggungjawab sendiri.

A Kadir Jasin kata garis panduan yang dicadangkan itu sepatutnya dibincangkan oleh Jemaah Menteri sebelum didedahkan dalam jawapan bertulis Parlimen.
PETALING JAYA:
Seorang wartawan veteran berkata semua orang harus jangan keterlaluan dalam melindungi orang Melayu-Islam, berikutan isu mengenai cadangan garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam majlis orang selain Islam.

A Kadir Jasin menegur cadangan tersebut, kerana Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu serta perdana menteri kerap menghadiri acara yang dianjurkan oleh rumah ibadat bukan Islam, dan mereka tidak pun terpesong daripada Islam.

“Mungkin kita semua harus jangan memanjakan orang Melayu-Islam. Menjaga akidah adalah tanggungjawab sendiri.

“Kerajaan yang baik mewujudkan ruang untuk rakyat. Yang buruk mengganggu dan masuk campur,” katanya di Facebook.

Kadir berkata beliau bersekolah di Sekolah St Michael di Alor Setar, Kedah, selama lapan tahun, di mana dia dengar rakan sekolah berdoa dan menyanyikan lagu keagamaan Kristian.

Bekas penasihat komunikasi kepada Dr Mahathir Mohamad itu berkata, salib pernah dipamerkan di atas papan hitam setiap bilik darjah sekolahnya, yang kemudiannya dinamakan semula sebagai SMK St Michael.

“Guru-guru daripada semua kaum dan agama. Pemimpin rohani sekolah itu ialah seorang paderi yang bergelar ‘Brother Supervisor’. Majoriti pelajar adalah budak Melayu dari kampung. Tidak ada seorang pun keluar Islam!

“Saya menghadiri majlis perkahwinan di gereja dan pengebumian rakan yang beragama Kristian, saya memberi penghormatan terakhir kepada rakan bukan Islam saya di rumah mereka dan di rumah mayat.

“Sebagai pelajar di New Zealand, saya tinggal di rumah paderi Anglikan selama dua minggu. Jika itu berdosa, saya memohon ampun kepada Allah,” tambahnya.

Kadir berkata garis panduan yang dicadangkan itu sepatutnya dibincangkan oleh Jemaah Menteri sebelum didedahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar dalam jawapan bertulis Parlimen.

Beliau menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim selesaikan isu ini dan bukannya memenuhi kehendak sektarian, sesuai dengan gelaran ‘Insan Renaissance’.

Cadangan garis panduan itu yang mencetuskan kontroversi akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Ia antara lain menyatakan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam, contohnya premis yang digunakan tidak mempamerkan simbol keagamaan bukan Islam.

Di samping itu, pihak penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan perlu mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam jika jemputan melibatkan pemimpin atau orang Islam sebelum sesuatu majlis perayaan dilaksanakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.