
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yew Jen Kie dijadual memberikan keputusannya pada pukul 3.00 petang ini terhadap saman pemula yang dikemukakan oleh Musa bagi mencabar pelantikan Shafie sebagai ketua menteri yang baharu kerana mendakwa beliau adalah ketua menteri Sabah yang sah.
Pada 24 Okt, Hakim Yew menangguhkan keputusannya ke 7 Nov selepas mendengar penghujahan panjang lebar oleh peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad dan S Vanugopal yang mewakili Musa. Datuk Douglas Lind yang bertindak bagi pihak Shafie dan Peguam Besar Negeri Datuk Zaleha Rose Pandin yang mewakili Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.
Musa pada mulanya memfailkan writ saman terhadap Shafie pada 17 Mei tetapi menariknya balik, bagaimanapun pada Jun, beliau memfailkan saman pemula bagi memohon mahkamah, antara lain, mengeluarkan satu perintah bahawa beliau adalah ketua menteri Sabah yang sah yang dilantik oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin pada 10 Mei.
Saman pemula tidak memerlukan perbicaraan dijalankan di mana para peguam daripada kedua-dua belah pihak akan memfailkan penghujahan dan afidavit bagi penghujahan kes masing-masing, manakala writ saman memerlukan perbicaraan dan saksi-saksi dipanggil untuk memberi keterangan.
Dalam saman pemula yang difailkannya, Musa menamakan Juhar sebagai defendan pertama dan penggantinya Shafie sebagai defendan ke-2 dan memohon satu perintah pelantikan Shafie sebagai ketua menteri pada 12 Mei adalah tidak sah.
Beliau juga memohon satu perintah beliau kekal sebagai ketua menteri Sabah yang sah dan satu perintah tiada pembatalan atau pemecatan beliau daripada jawatan itu.
Musa juga memohon perintah defendan pertama (Juhar) mencabuli perlembagaan dalam melantik Shafie sebagai anggota Kabinet negeri serta memohon satu perintah segala tindakan dan perkara-perkara yang dilakukan oleh Shafie dan/atau yang didakwa kabinet beliau selepas beliau mendakwa dilantik sebagai ketua menteri, adalah tidak sah dan terbatal dan tidak mempunyai kesan selain membawa kerosakan kepada kedua-dua pihak defendan.
Musa mengangkat sumpah jawatan sebagai ketua menteri pada 10 Mei selepas memenangi majoriti mudah pada pilihan raya umum ke-14 tetapi hilang majoriti selepas beberapa Adun dari partinya (Umno) dan dari parti komponen Barisan Nasional (Upko) melompat parti untuk memberi sokongan kepada Parti Warisan Sabah yang dipimpin Shafie.
Pada 5 Nov, Musa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsensi pembalakan di negeri itu yang berjumlah US$63 (RM263,460,962.313).
Bagi semua pertuduhan itu, Musa, 67, didakwa meminta rasuah daripada 8 pemilik syarikat konsensi pembalakan semasa beliau memegang jawatan ketua menteri Sabah merangkap pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah dan kesalahan itu didakwa dilakukannya di 8 institusi kewangan di Hong Kong dan Singapura antara Disember 2004 dan November 2008.
Hakim Rozina Ayob membenarkan Musa diikat jamin sebanyak RM2 juta dengan 2 penjamin selain diperintah menyerahkan pasport diplomatik dan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kesnya selesai dan menetapkan 13 Dis sebagai tarikh sebutan semula kes Adun Sungai Sibuga itu.
Musa membayar wang jaminan sebanyak RM2 juta itu pada Isnin walaupun Rozina membenarkan beliau membuat pembayaran secara ansuran di mana RM1 juta perlu dibayar pada Isnin dan bakinya boleh diselesaikan pada Rabu (hari ini).
Peguamnya Amer Hamzah Arshad memohon agar wang ikat jamin itu dibayar secara ansuran dengan RM500,000 dibayar pada Isnin dan bakinya diselesaikan menjelang Rabu.
Rozina juga memerintahkan Musa supaya berada di Kuala Lumpur dan melarangnya pulang ke Kota Kinabalu sehingga urusan ikat jaminnya diselesaikan pada Rabu, walapun Amer Hamzah memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya perlu menghadiri satu kes di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Rabu.