Polis tahan lelaki disyaki kurung pekerja warga India

Polis tahan lelaki disyaki kurung pekerja warga India

Polis dan Jabatan Imigresen akan menyiasat suspek di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Pekerja warga India ini mendakwa mereka ditipu oleh ejen yang menahan mereka secara salah selama 4 bulan di Bentong, Pahang.
PETALING JAYA:
Polis menahan majikan disyaki memberi layanan buruk kepada sekumpulan pekerja warga India dan mengurung mereka di Bentong, Pahang.

Menurut Jabatan Buruh, suspek ditahan selepas beliau membuat laporan polis mendakwa 48 orang pekerjanya, yang diambil bekerja bagi pemasangan kabel voltan tinggi di Kampung Chamang, telah melarikan diri.

Ia berkata, polis dan Jabatan Imigresen akan menyiasat suspek di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Jabatan itu juga berkata, ia akan menyiasat suspek kerana beberapa kesalahan di bawah Akta Pekerjaan, termasuk kegagalan membayar upah lebih daripada 3 bulan.

“Pekerja terbabit mendakwa majikan mereka pada mulanya menjanjikan upah bulanan sebanyak 25,000 rupee (kira-kira RM1,400).

“Bagaimanapun dakwa mereka, kebanyakan pekerja sehingga kini hanya menerima gaji untuk bulan pertama pekerjaan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, dengan menambah beberapa pekerja juga mendakwa majikan merampas dokumen perjalanan/pasport mereka.

Semalam, dilaporkan sekumpulan pekerja warga India dari Thirunelveli di Tamil Nadu, India, mendakwa mereka ditahan secara salah oleh ejen yang membawa mereka masuk ke Malaysia.

Kata mereka, ejen berkenaan mengancam hendak menghantar “mayat” mereka balik ke India.

Dalam laporan polis yang ditunjukkan kepada FMT, P Muniandy, yang merupakan setiausaha politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy, menggesa polis menyiasat dakwaan yang dibuat pekerja berkenaan dalam satu klip video yang tular di Malaysia dan India.

Dalam klip video itu, pekerja terbabit memberitahu bahawa mereka ditipu oleh ejen yang menahan mereka secara salah selama 4 bulan di Bentong.

Menurut salah seorang pekerja, mereka tidak dibenarkan bercakap antara satu sama lain lebih daripada 10 minit, dan mereka hanya berjaya membawa keluar video tersebut sewaktu ejen dan majikan keluar membeli petrol.

48 pekerja terbabit kini ditempatkan di sebuah tempat perlindungan sementara di kuil Hindu di Batu Caves.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.