
Beliau bagaimanapun berkata, bukan mudah untuk menunaikam janji itu kerana angka 1 juta rumah mampu milik adalah besar.
“1 juta bukan angka kecil untuk rumah, tetapi ini janji kita dan kita akan tunaikan janji bina 1 juta rumah dalam jangka masa 10 tahun.
“Buat janji memang mudah, terutama pada waktu piliham raya, kita boleh janji apa sahaja, asalkan dapat sokongan, tetapi untuk tunaikan janji tidak semudah buat janji.
“Sebab itu apabila PH ambil alih, kerajaan khuatir tak boleh tunai janji, terutama untuk menyediakan 1 juta rumah mampu dibeli sebab ada rumah harganya lebih mahal yang hanya orang kaya mampu beli,” katanya ketika melancarkan program FundMyHome di Eco World Gallery @ Eco Majestic, di sini, hari ini.
PH dalam manifesto pilihan rayanya sebelum ini berjanji membina 1 juta rumah mampu milik dalam masa 2 penggal pentadbiran.
Manifesto itu juga menyebut, ia lebih mengutamakan projek rumah mampu milik berbanding projek rumah biasa yang harganya terlalu mahal untuk golongan muda yang baru bekerja.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak boleh menurunkan harga rumah sehingga mampu dibeli rakyat yang tidak berkemampuan.
Beliau berkata, fenomena yang dilihat di negara ini ialah beribu-ribu orang mahu membeli rumah, tetapi beribu-ribu rumah juga tidak dapat dibeli kerana kemapuan pembeli tidak sepadan dengan harga rumah yang dijual.
“Ini kerana tidak ada ‘matching’ harga rumah dengan keupayaan pembeli,” katanya.
Dr Mahathir berkata, disebabkan keadaan itu satu usaha dalam bentuk skim pembiayaan yang disediakan oleh FundMyHome.Com, sebuah platform digital yang akan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah pertama mereka.
Beliau berkata, rakyat kini ditawarkan satu skim yang membolehkan pembeli membayar hanya 20% daripada harga tanah untuk memiliki rumah.
“Dengan pelbagai kediaman bertingkat dan bertanah pada harga dan di lokasi berbeza, baki 80% kos hartanah akan dibiayai oleh institusi yang akan berkongsi pulangan daripada perubahan nilai rumah pada masa depan,” katanya.
Skim itu dibangunkan oleh EdgeProp Sdn Bhd dengan kerjasama FundMyHome.com yang saling membantu dengan pemilik rumah kali pertama dan institusi pembiaya.
Dr Mahathir berkata, rakyat bagaimanapun tidak perlu risau kerana rumah yang dibeli itu tidak akan dimiliki pelabur, sebaliknya tuan rumah akan duduk dan menggunakan rumah itu.
Sebelum itu, pengerusi The Edge, Datuk Tong Kooi Ong berkata, FundMyHome adalah sejenis skim pelaburan terangkum.
Beliau berkata, di samping membantu pemaju menjual hartanah, ejen akan menyelaraskan jualan dan memberi panduan kepada pelanggan yang berminat untuk menjadi pelabur hartanah.
Beliau berkata, skim itu menawarkan 1,000 unit rumah pada fasa pertama dan kosnya kurang daripada RM500,000 dengan penglibatan 9 pemaju.
“Institusi yang turut serta menyumbang 80% daripada harga rumah ialah Kumpulan Maybank dan CIMB. Lebih banyak bank dan institusi kewangan bakal turut serta dalam tempoh terdekat,” katanya.