Bajet 2019: Guan Eng ulangi hutang kerajaan cecah RM1 trilion

Bajet 2019: Guan Eng ulangi hutang kerajaan cecah RM1 trilion

Menteri Kewangan itu menyatakan penghargaan kepada rakyat kerana menyelamatkan negara daripada kerajaan kleptokrasi kepada kerajaan yang demokratik.

Lim Guan Eng mendakwa pentadbiran terdahulu secara rahsia membayar hutang 1MDB hampir RM7 bilion sehingga 30 April 2018.
KUALA LUMPUR:
Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengulangi hutang kerajaan kini mencecah RM1 trilion ketika membentangkan Bajet 2019, hari ini.

Beliau memulakan ucapan dengan menyatakan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana menyelamatkan negara daripada kerajaan kleptokrasi kepada kerajaan yang demokratik.

“Perincian hutang ini merangkumi RM725.2 bilion hutang langsung Kerajaan Persekutuan, RM155.8 bilion komitmen luar jangka dan RM184.9 bilion liabiliti lain termasuk bayaran pajakan bagi projek Kerjasama Awam Swasta (PPP),” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata hutang dan liabiliti sebenar kerajaan sehingga akhir Jun 2018 adalah RM1,065 bilion, iaitu hampir RM350 bilion lebih tinggi daripada jumlah yang didedahkan secara rasmi oleh kerajaan terdahulu.

Lim turut mendedahkan kerajaan mendapati pentadbiran terdahulu secara rahsia membayar hutang 1MDB hampir RM7 bilion sehingga 30 April 2018.

“Kerajaan juga mendapati negara mungkin perlu membayar sehingga RM43.9 bilion lagi bagi menyelesaikan hutang 1MDB ini,” katanya.

14 Oktober lalu, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sekali lagi membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenai isu hutang negara, dengan mempersoalkan kenapa Putrajaya menggunakan angka tepat RM1 trilion.

Najib berkata hutang 1MDB turut dimasukkan dalam jaminan hutang RM199 bilion, sedangkan hutang 1MDB tidak sebanyak itu dan syarikat berkenaan mempunyai banyak aset, termasuk Bandar Malaysia, Tun Razak Exchange (TRX) dan tanah di Pulau Pinang yang nilainya berpuluh bilion.

Katanya, laporan terkini Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan hutang negara setakat akhir Jun lalu ialah RM725 bilion berbanding RM688 bilion pada akhir 2017.

Beliau berkata, ketua ekonomi Bank Dunia sebelum ini menyatakan hutang Malaysia tidak begitu tinggi dan mampu ditangani.

Tambahnya, kerajaan PH tahu mengenainya, tetapi mereka terus menggunakan propaganda hutang RM1 trilion untuk memburukkan kerajaan Barisan Nasional, selain menjadi penjualan aset negara, memperkenalkan cukai baru dan menarik balik bantuan bagi rakyat sebagai alasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.