
BMI dalam nota penyelidikan hari ini berkata, ia kekal yakin dengan unjurannya memandangkan rekod prestasi pentadbiran semasa yang konsisten dalam mencapai sasaran fiskal selain kesesuaian dengan unjuran kerajaan Malaysia sendiri.
“Belanjawan ini juga menandakan langkah positif ke arah matlamat jangka sederhana Malaysia untuk mengurangkan defisit belanjawannya kepada purata 3.5% antara 2025 dan 2027,” katanya.
Kerajaan Malaysia terus meneruskan penyatuan fiskal dan mensasarkan defisit sebanyak 3.8% daripada KDNK pada 2025. Pemacu utama pengurangan ini merupakan pengembangan asas cukai yang berterusan sementara kerajaan terus mengekang perbelanjaan.
Namun, BMI memberi amaran iaitu risiko terhadap unjuran ini lebih cenderung ke arah defisit lebih besar susulan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump baru-baru ini mengenakan tarif timbal balik 24% ke atas semua import Malaysia ke AS.
Langkah yang dikenakan Trump itu boleh memberi impak ketara terhadap ekonomi Malaysia yang berorientasikan eksport.
“Hasil yang diharapkan, pada pendapat kami, bergantung kepada sejauh mana kejayaan yang dicapai apabila kedua-dua pihak terlibat dalam perundingan untuk mengurangkan tarif,” kata BMI.
BMI juga mengunjurkan sedikit kelembapan dalam pertumbuhan hasil dengan menjangkakan ia menyusut kepada 16.3% daripada KDNK pada 2025 berbanding 16.6% pada 2024.
Katanya, pengumuman belanjawan yang paling ketara termasuk pengembangan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk memasukkan transaksi perkhidmatan komersial perniagaan ke perniagaan (B2B), barangan makanan bukan keperluan serta produk premium import seperti salmon dan avokado.
BMI menganggarkan langkah-langkah ini boleh menjana hasil sebanyak RM51.7 bilion atau 2.2% daripada KDNK yang dirancang oleh kerajaan untuk mengimbangi penurunan pendapatan berkaitan petroleum.
“Sememangnya, walaupun pendapatan berkaitan petroleum mungkin berkurang kepada 3% daripada KDNK pada 2025 berbanding 3.2% pada 2024, berdasarkan unjuran harga minyak yang disemak semula oleh kerajaan, iaitu USD75 hingga USD80 setiap tong pada 2025, seiring dengan matlamat pembuat dasar untuk mengurangkan pergantungan kepada pendapatan berkaitan petroleum.
“Kami juga menjangka kerajaan mencapai sasaran perolehannya seperti yang dilaksanakannya secara konsisten dalam beberapa tahun kebelakangan ini menerusi pengenaan cukai 2% ke atas pendapatan dividen individu melebihi RM100,000 mulai tahun taksiran 2025,” kata BMI.
Walaupun menjangkakan perbelanjaan keseluruhan mungkin melebihi tahap belanjawan, BMI mengakui jurang di antara belanjawan dengan perbelanjaan sebenar semakin mengecil sejak 2022, dengan perbelanjaan keseluruhan dijangka menurun kepada 20.1% daripada KDNK pada 2025 berbanding 20.9% pada 2024.
“Pada pandangan kami, potensi positifnya iaitu niat pembuat dasar untuk mengurangkan subsidi RON95 secara keseluruhan yang sedia ada bermula pertengahan 2025 dan untuk menarik balik subsidi pendidikan dan kesihatan bagi kumpulan pendapatan 15% tertinggi.
“Walaupun penarikan balik subsidi petrol RON95 akan diterjemahkan kepada penjimatan sekitar RM20.0 bilion, butiran mengenai rancangan tersebut masih kurang jelas selain menimbulkan persoalan mengenai pelaksanaannya dan keberkesanannya dalam usaha penyatuan fiskal Malaysia,” katanya.
BMI mengunjurkan jumlah hutang kerajaan akan kekal tinggi iaitu sekitar 63% KDNK apabila ia meningkat kepada RM1.23 trilion pada hujung 2024 berbanding RM1.17 trilion pada akhir 2023.
Katanya, paras hutang awam Malaysia kekal relatif tinggi berbanding rakan negara pesat membangun yang setara, tetapi risiko fiskal dijangka kekal terkawal, paling tidak kerana lebih 97% daripada jumlah hutang merupakan dalam sekuriti dengan denominasi ringgit.