Lebih baik salur wang tunai daripada tambah hutang, kata ahli ekonomi

Lebih baik salur wang tunai daripada tambah hutang, kata ahli ekonomi

Ahli ekonomi menggesa kerajaan menambah perbelanjaan untuk sistem penjagaan kesihatan.

Seorang pemimpin Umno baru-baru ini mencadangkan supaya kerajaan menambah hutang bagi menambah dana.
PETALING JAYA:
Penyaluran wang tunai langsung kepada rakyat adalah lebih baik daripada menambah hutang kerajaan untuk memasukkan wang tunai ke dalam ekonomi, kata seorang ahli ekonomi.

Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, penyaluran RM15 bilion melalui projek rangsangan tidak efisien.

Katanya kepada FMT, pemberian wang tunai langsung yang dibiayai melalui penciptaan wang jangka pendek dan terhad adalah jauh lebih baik daripada menambah hutang untuk pakej rangsangan.

Seorang ahli ekonomi lain, Carmelo Ferlito, menggesa supaya perbelanjaan untuk sistem penjagaan kesihatan dipertingkatkan.

“Berbanding pakej bantuan, wang itu boleh dibelanjakan ke atas sistem penjagaan kesihatan, sekali gus mengukuhkannya.

“Sebagai contoh, dengan memberi bantuan insurans dan melabur dalam penyelidikan untuk (mencari) rawatan (Covid-19) yang benar-benar berkesan,” katanya.

Geoffrey Williams.

Williams dan Ferlito diminta untuk mengulas cadangan Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan agar kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan siling hutang nasional atau menerbitkan bon untuk mengumpulkan wang bagi perbelanjaan operasi.

Kata Shahril, meningkatkan hutang kerajaan dapat memberi kelegaan kepada rakyat, sekiranya ia dilaksanakan dengan betul.

Bagaimanapun Ferlito berkata, menambah hutang akan meninggalkan beban kewangan lebih tinggi kepada generasi akan datang melalui kenaikan cukai dan inflasi.

Perbelanjaan kerajaan yang lebih tinggi mungkin membantu sektor tertentu untuk berkembang secara artifisial, tetapi sektor terbabit akan menderita apabila sokongan itu hilang, katanya.

Carmelo Ferlito.

Katanya, menghentikan sekatan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) secepat mungkin boleh menyelesaikan masalah ekonomi kerajaan.

Satu lagi jalan penyelesaian adalah dengan menghapuskan punca kemiskinan, tambahnya.

Williams berkata, sekiranya sekatan PKP dilanjutkan sehingga ke Tahun Baru Cina, ekonomi akan mengalami kerugian RM22 bilion, atau RM32.2 bilion jika dilanjutkan hingga 26 Feb.

Beliau juga berkata, pakej rangsangan Permai bernilai RM15 bilion yang baharu sahaja diumumkan kerajaan dengan sendirinya tidak mencukupi.

Namun, penggunaan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk meningkatkan rangsangan hanya akan mengurangkan simpanan peribadi.

Ferlito, dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi berkata, kesan perbelanjaan kerajaan tidak akan berlaku segera, dan hanya akan menjadi nyata apabila keadaan ekonomi berubah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.