Semakan harga gas Petronas hanya untuk penghantaran ke rumah

Semakan harga gas Petronas hanya untuk penghantaran ke rumah

Harga ambil sendiri di pengedar berdaftar Gas Petronas dan kedai runcit kekal masing-masing sebanyak RM22.80 bagi silinder 12kg dan RM26.60 untuk silinder 14kg.

Caj penghantaran gas Petronas disemak semula sejajar kadar pasaran iaitu RM8.20 untuk silinder 12kg dan RM8.40 (14kg). (Gambar Youtube)
KUALA LUMPUR:
Petronas Dagangan Bhd menjelaskan semakan semula harganya hanya terpakai kepada perkhidmatan Penghantaran Gas PETRONAS ke Rumah (Gas PETRONAS Home Delivery) (GPHD) dan semata-mata untuk caj penghantaran bagi tempahan yang dibuat melalui Pusat Panggilan Mesralink.

Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas Dagangan menyebut, caj penghantaran itu disemak semula sejajar kadar pasaran daripada RM3.20 untuk silinder 12kg dan 14kg sebelumnya kepada RM8.20 untuk silinder 12kg dan RM8.40 untuk silinder 14kg.

“Harga untuk ambil sendiri di pengedar berdaftar Gas Petronas dan kedai runcit kekal seperti harga yang ditetapkan kerajaan, masing-masing sebanyak RM22.80 bagi silinder 12kg dan RM26.60 untuk silinder 14kg,” kata kenyataan itu.

Harga semasa di laman web GPHD menyenaraikan RM25.80 untuk silinder 12kg dan RM29.80 untuk silinder 14kg bagi wilayah tengah, sementara wilayah selatan, timur dan utara harga bagi kedua-dua silinder berkenaan masing-masing adalah RM25.20 dan RM29.

Dilaporkan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan mengeluarkan kenyataan hari ini berkenaan perkara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.