
“Mereka cuba untuk mempengaruhi kerajaan dan kita menolak.
“Maaf, saya tak boleh namakan syarikat terbabit,” katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Anti-rasuah hari ini.
Terdahulu, perdana menteri dalam ucapan perasmiannya berkata, kerajaan berdepan “tugas sukar” membasmi rasuah dan mentadbir negara pada masa sama.
“Untuk itu, kerajaan memerlukan wang. Tetapi, ada cubaan menggunakan sumbangan bagi mempengaruhi pentadbiran kerajaan.
“Ini ditolak kerajaan kerana apabila sejumlah wang diberikan sebagai sumbangan kepada tabung itu, ia menjadi sumber rasuah.”
Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, Kabinet bersetuju menutup akaun Tabung Harapan pada 31 Disember ini, selepas 7 bulan ditubuhkan bagi membantu kerajaan persekutuan “membayar semula hutang negara yang sangat tinggi”.
Katanya, Jabatan Audit Negara akan mengaudit akaun itu untuk memastikan pengurusan secara teratur dan berintegriti.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata, ramai pelabur kembali ke Malaysia untuk melabur, selepas PH mengambil alih pentadbiran negara.
Katanya, kerajaan PH tidak seperti kerajaan terdahulu meminta 30% saham percuma sebagai syarat meluluskan permohonan projek.
“Mereka (pelabur) menyatakan rasa gembira dengan layanan yang diterima daripada kerajaan ini.”
Beliau meminta pelabur asing yang mendapat layanan buruk ketika berurusan dengan pegawai kerajaan yang meminta rasuah supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Tiada sebarang laporan mengenainya (rasuah). Kita sendiri bersedia untuk membuka sebarang siasatan jika ada sesiapa yang tahu mengenai perbuatan rasuah ini.
“Tampil dan maklumlah (kepada kita) dan kita akan melindungi anda serta mengambil tindakan ke atas pegawai yang melakukan kesalahan rasuah itu.”
Mengulas dakwaan wujud elemen rasuah dengan membawa ahli Parlimen Umno menyertai PPBM, Dr Mahathir mengalu-alukan mereka yang mempunyai bukti membuat laporan kepada parti itu dan pihak berkuasa.
“Kita akan mengambil tindakan, tetapi setakat ini kita tidak ada meminta duit (daripada bekas ahli Umno).”
Katanya, PPBM menetapkan syarat wakil rakyat yang mahu menyertai parti itu perlu menjadi ahli Parlimen bebas untuk tempoh tertentu.
“Kemudian baru memohon untuk menjadi ahli parti kita. Ianya tidak mudah.
“Contohnya Datuk Seri Mustapa Mohamed adalah ahli Parlimen bebas untuk jangka masa tertentu sebelum permohonannya diterima.”
Jumaat lalu, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai PPBM selepas meninggalkan Umno pada 18 September lalu.
Dr Mahathir yang juga pengerusi PPBM menafikan ada perbincangan bagi mengecualikan bekas ahli Umno dihukum atas kes rasuah.
“Tak ada, kita tak ada membuat perjanjian dengan penjenayah.”
Sabtu lalu, Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Datuk A Kadir Jasin dilaporkan berkata, kira-kira 40 ahli Parlimen Umno mungkin meninggalkan parti itu, tetapi tiada jaminan mereka tidak disiasat pihak berkuasa selepas menyertai PPBM.
“Hal itu (selamatkan diri) payah hendak cakap…tetapi mana mungkin PPBM atau kerajaan melindungi (mereka).
“Kalau ada bukti kesalahan…saya rasa mungkin terlintas di fikiran, tetapi tidak boleh dikatakan itu syaratnya…tiada jaminan.”