Ratifikasi 6 triti hak asasi, kerajaan ambil kira suara rakyat, kata timbalan menteri

Ratifikasi 6 triti hak asasi, kerajaan ambil kira suara rakyat, kata timbalan menteri

Proses ratifikasi Konvensyen Hak Asasi Manusia PBB akan mengambil kira keserasian konvensyen berkenaan dengan sistem perundangan di Malaysia.

Timbalan Menteri Luar, Marzuki Yahya berkata, kerajaan tidak menetapkan jangka masa spesifik berhubung ratifikasi 6 triti berkenaan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan menegaskan proses ratifikasi 6 triti hak asasi manusia akan dilaksanakan dengan menghormati sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan, kepelbagaian agama dan kaum di negara ini serta mengambil kira suara rakyat terutama dalam isu-isu sensitif.

Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya berkata, proses ratifikasi Konvensyen-konvensyen Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang kini diteliti kerajaan, akan juga mengambil kira keserasian konvensyen berkenaan dengan sistem perundangan di Malaysia.

“Berkenaan dengan ratifikasi, proses ini akan berbeza bergantung kepada faktor seperti keserasian konvensyen itu dengan sistem perundangan Malaysia dan keperluan mengadakan perbincangan menyeluruh dengan pihak berkepentingan bagi setiap konvensyen hak asasi manusia.

“Jawatankuasa teknikal telah ditubuhkan untuk mengkaji penyertaan Malaysia, jawatankuasa ini dipengerusikan oleh agensi peneraju yang secara lazimnya merangka dan menyelia dasar konvensyen tersebut,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) yang meminta penjelasan kementerian sama ada telah bersetuju untuk meratifikasi 6 resolusi hak asasi manusia berkenaan dan sama ada pihak pembangkang turut dilibatkan dalam jawatankuasa yang dibentuk untuk meneliti ratifikasi triti berkenaan.

Pada Julai, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berjanji untuk berusaha meratifikasi 6 konvensyen hak asasi manusia antarabangsa yang masih belum ditandatangani, iaitu:

1. Konvensyen Antarabangsa Menentang Segala Bentuk Diskriminasi Kaum.
2. Perjanjian Antarabangsa Hak Sivil dan Politik.
3. Konvensyen PBB Menentang Penderaan dan Perlakuan atau Hukuman Lain yang Kejam, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Martabat.
4. Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan.
5. Konvensyen Antarabangsa mengenai Perlindungan Hak Semua Pekerja Migran dan Ahli Keluarga.
6. Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan yang Dipaksa.

Mengulas lanjut, Marzuki berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil pendekatan berbeza dengan pentadbiran lama berhubung isu ratifikasi triti tersebut.

“Ratifikasi ini dilihat sebagai garisan penamat dan bukan sempadan yang tidak boleh didekati dan perkara penting ini perlukan perbincangan terbuka semua pihak dan bukan dialog tertutup oleh pihak tertentu sahaja.

“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah tekankan di persidangan PBB bahawa kita beri masa kepada semua pihak untuk membahaskan ratifkasi ini untuk diputuskan berdasarkan demokrasi.

“Kerajaan juga akan menjalankan proses ini dengan menghormati sepenuhnya perlembagaan Persekutuan, kepelbagaian agama dan kaum di Malaysia dan suara rakyat mengenai isu sensitif,” katanya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Chang Lih Kang (PH-Tanjong Malim) Marzuki berkata, kerajaan tidak menetapkan jangka masa spesifik untuk membuat keputusan berhubung ratifikasi 6 triti berkenaan.

“Ia lebih bergantung kepada keperluan, jadi kita tidak akan tetapkan masa dan waktu bila dan di mana kita akan tanda tangani ratifikasi ini,” jelasnya.

Menurut Marzuki, kajian mengenai penyertaan Malaysia ke instrumen antarabangsa hak asasi manusia itu sedang giat dijalankan oleh Kumpulan Kerja Teknikal yang ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Antara Kementerian dan Agensi mengenai Isu-isu Hak Asasi Manusia.

“Bagi tujuan mengkaji ratifikasi 6 konvensyen hak asasi manusia antarabangsa, kerajaan menubuhkan 6 Jawatankuasa Kecil Teknikal yang diterajui kementerian atau agensi seperti Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Sumber Manusia; Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta Kementerian Luar Negeri mengikut bidang kuasa mereka berkaitan dengan intipati konvensyen hak asasi manusia antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, beberapa siri mesyuarat antara agensi kerajaan telah diadakan bagi memastikan peruntukan sedia ada dalam konvensyen antarabangsa tersebut serasi dan tidak bercanggah dengan undang-undang domestik sedia ada selain perbincangan secara berkala melibatkan masyarakat dan badan bukan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.