
Dalam surat memaklumkan beliau menerima pernyataan peguam penulis itu, Thomas berkata, beliau akan menasihatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan 4 buku itu daripada senarai pengharaman.
Katanya, buku itu dijual selama beberapa tahun sebelum diharamkan dan Faisal turut mendapat anugerah bagi sesetengah novel dalam buku terbabit.
“Sepanjang tempoh ini, tiada gangguan awam berlaku,” kata Thomas.
Buku bertajuk “Sebongkah Batu di Kuala Berang”, “Karbala”, “Tiga Kali Seminggu” dan “Ingin Jadi Nasrallah” diharamkan KDN pada 2015, atas alasan ia boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan.
KDN kemudian mendakwa buku ditulis Faisal, seorang kolumnis FMT dan felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, mengandungi unsur Syiah, ajaran yang dilabelkan “sesat” oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
Tetapi, panel 3 hakim Mahkamah Rayuan pada 10 Januari lalu memutuskan pengharaman itu melanggar hak asasi Faisal untuk kebebasan bersuara.
Hakim, Puan Sri Zaleha Yusof dilaporkan berkata, mereka yang sudah membaca 4 buku itu, tidak faham bagaimana ia boleh menggugat ketenteraman awam atau menjadi ancaman terhadap keselamatan.
Thomas berkata, keputusannya mengambil kira peranan Faisal sebagai ahli akademik, penyair dan penulis skrip yang menghasilkan karya kreatif.
Katanya, majalah dan jurnal mempunyai reputasi baik, termasuk yang dikeluarkan Dewan Bahasa dan Pustaka turut menyiarkan karya yang terkandung dalam buku terbabit.