Laporan: Bank pusat Jepun timbang ubah masa beli hutang kerajaan

Laporan: Bank pusat Jepun timbang ubah masa beli hutang kerajaan

Pada masa ini bank pusat membeli hutang di pasaran terbuka satu hari selepas Kementerian Kewangan menawarkan bidaan bon baru.

BOJ dijangka mengekalkan dasar kewangan dalam mesyuarat lembaganya yang dijangka berakhir pada 31 Okt depan. (Gambar Reuters)
TOKYO:
Bank pusat Jepun (BOJ) akan menimbangkan perubahan masa ia membeli hutang kerajaan bagi menggalakkan lebih banyak aktiviti jual beli dalam kalangan institusi kewangan, lapor akhbar Asahi hari ini.

Pada masa ini bank pusat itu membeli hutang di pasaran terbuka satu hari selepas Kementerian Kewangan menawarkan bidaan bon baru sebagai sebahagian daripada langkah pelonggaran kuantitatif.

BOJ menimbangkan mengubah masa pembelian ini kepada 2 hari selepas bidaan hutang baru berkenaan bagi membolehkan bon beredar lebih lama di pasaran, lapor Asahi tanpa memetik sumber.

BOJ juga tidak memberi respons ketika dihubungi.

Bank pusat itu mungkin juga akan menimbangkan mengurangkan kekerapannya membeli hutang jangka sederhana dan panjang, kata Asahi.

Keputusan berkenaan masa dan kekerapan membeli hutang bukanlah satu perubahan kepada dasar kewangan, menyebabkan langkah tersebut tidak perlu dibuat oleh lembaga dasar BOJ, lapor akhbar itu lagi.

Sebaliknya ia dibuat oleh pegawai BOJ yang mengurus operasi pasaran.

BOJ dijangka mengekalkan dasar kewangan dalam mesyuarat lembaganya yang dijangka berakhir pada 31 Okt depan.

Julai lepas, BOJ mengubah dasar bagi membenarkan pertambahan kecil keuntungan jangka panjang, sebahagiannya kerana kebimbangan bahawa kegiatan pembelian hutang meminggirkan pelabur lain.

Jumlah jual beli pada mulanya meningkat selepas perubahan itu, tetapi jatuh semula kemudiannya, sekali gus memperbaharui kebimbangan terhadap pasaran bon, kata Asahi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.