Rosmah dan 2 anak tiba untuk disoal siasat polis berhubung 1MDB

Rosmah dan 2 anak tiba untuk disoal siasat polis berhubung 1MDB

Isteri bekas perdana menteri itu dijangka disoal siasat Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram.

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman untuk membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana 1MDB.

Isteri bekas perdana menteri itu tiba di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, pada 9.43 pagi dengan baju kurung hitam putih, bersama 2 anaknya, Norashman Najib dan Riza Aziz yang dijangka memberi keterangan berhubung kes sama.

Sebelum ini, sumber dilaporkan berkata, Rosmah akan disoal siasat Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram.

Pada 4 Oktober lalu, Rosmah dihadapkan ke mahkamah atas 17 pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM14 juta.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara 5 hingga 15 tahun, denda RM5 juta atau lebih di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada 3 Oktober lalu, suaminya, Datuk Seri Najib Razak ke tempat sama untuk memberi keterangan berhubung isu sama. Ketika itu, Rosmah pula ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk memberi keterangan.

Jun lalu, Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mendedahkan wang tunai dan barang berharga lebih RM1 bilion dirampas dalam serbuan ke atas 6 premis dikaitkan dengan pasangan itu.

Ia termasuk 12,000 jenis barang kemas, lebih 1,000 beg tangan berjenama, 234 cermin mata dan wang tunai sebanyak RM116.7 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.