Rosmah, 2 anaknya disoal siasat polis 3 jam

Rosmah, 2 anaknya disoal siasat polis 3 jam

Tiga beranak itu dijangka tidak disoal siasat lagi selepas solat Jumaat.

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor dan 2 anaknya meninggalkan ibu pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di Jalan Tun Razak, selepas disoal siasat kira-kira 3 jam.

Dua kenderaan yang membawa 3 beranak itu meninggalkan Menara KPJ melalui pintu belakang pada 1.13 tengah hari.

BMW berwarna hitam dinaiki Norashman Najib dan Riza Aziz, manakala Proton Perdana berwarna hitam pula membawa isteri bekas perdana menteri itu.

Rosmah dan 2 anaknya yang ditemani 2 peguam, hadir untuk membantu siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan dana 1MDB.

Pada 4 Oktober lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 17 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM14 juta.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara 5 hingga 15 tahun, denda RM5 juta atau lebih di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Sebelum ini, Rosmah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebanyak 3 kali bagi membantu siasatan berkaitan skandal 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd.

Jun lalu, Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mendedahkan wang tunai dan barang berharga lebih RM1 bilion dirampas dalam serbuan ke atas 6 premis dikaitkan dengan pasangan itu.

Ia termasuk 12,000 jenis barang kemas, lebih 1,000 beg tangan berjenama, 234 cermin mata dan wang tunai sebanyak RM116.7 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.