Pegawai kanan polis bergelar ‘Datuk’ direman 5 hari

Pegawai kanan polis bergelar ‘Datuk’ direman 5 hari

Pegawai kanan polis itu direman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah lebih RM100,000.

Pegawai SPRM membawa suspek bergelar ‘Datuk’ ke mahkamah bagi permohonan reman.
PETALING JAYA:
Pegawai kanan polis yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, direman 5 hari bermula hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim terhadap pegawai kanan berpangkat senior asisten komisioner (SAC) yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Aman.

Semalam, SPRM menahan seorang pegawai kanan polis bergelar “Datuk” bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah lebih RM100,000.

Pegawai kanan berusia 56 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, kira-kira 7 malam semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM10,000 atau 5 kali ganda nilai suapan, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Suspek disyaki meminta dan menerima rasuah berkenaan antara Ogos 2017 dan Ogos tahun ini.

Pegawai kanan itu disyaki meminta dan menerima wang itu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap seorang koperal polis yang mengambil upah dalam urusan pengurangan saman di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.