
Hakim, Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Hannan Ibrahim, 27, yang berasal dari Kampung Parit Tengah, Pekan, dekat sini, selepas dia mengaku salah terhadap pertuduhan itu.
Hukuman itu dilaksanakan bermula tarikh tertuduh ditahan, iaitu 23 Oktober lalu.
Tertuduh yang bertubuh kecil itu didakwa memuat naik komen menghina kematian 2 anggota polis itu menggunakan akaun Facebooknya dalam laman Komuniti Kuantan pada 5.30 petang, 23 Oktober lalu.
Perbuatan tertuduh didakwa menggunakan telefon bimbit jenama Samsung Galaxy J2 Prime miliknya melakukan perbuatan itu dengan tujuan menyakitkan hati sesetengah pihak.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a)(i) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Hannan yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ke atasnya atas alasan dia hanya bekerja sebagai penghantar ikan patin dari Pekan ke Temerloh dengan pendapatan RM1,600 sebulan.
“Saya mohon tempoh penjara yang singkat kerana saya menanggung ibu bapa dan seorang anak saudara. Emak saya tidak sihat dan saya yang perlu menjaganya,” katanya yang sempat mengucapkan terima kasih kepada hakim selepas hukuman dijatuhkan.
Timbalan Pendakwa Raya, Fatinah Abu Bakar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh sebagai pengajaran kepada dirinya dan orang awam supaya lebih berhati-hati dalam tindakan mereka di laman sosial.
“Tindakan tertuduh yang meninggalkan komen di posting berkaitan kematian 2 anggota polis itu bukan hanya mendatangkan kemarahan kepada warga polis, tetapi juga mengguris hati keluarga mangsa.”
Selasa lalu, 2 anggota polis dari cawangan Gerakan Ibu Pejabat Kontinjen Kuantan, Sarjan Mejar Roslan Maon, 50, dan Konstabel Watson Edin, 23, maut selepas kereta peronda dinaiki terbabas dan melanggar penghadang jalan di KM183.4 LPT, dekat Maran.
Mereka dalam operasi mengiringi kenderaan membawa kertas soalan Sijil Pelajaran Malaysia 2018 dari Bentong ke Kuantan dalam kejadian 3.20 petang itu.