13 pelajar antara 28 penumpang terselamat nahas bas di LPT

13 pelajar antara 28 penumpang terselamat nahas bas di LPT

Polis berkata semua 28 penumpang, masing-masing seorang pemandu bas dan treler serta kelindan tidak cedera dalam kemalangan itu.

bas ekspres rempuh treler maran
Keadaan bas ekspres selepas melanggar belakang sebuah treler di KM161.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), arah timur tengah malam tadi.
KUANTAN:
Seramai 28 penumpang, termasuk 13 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terselamat selepas bas dinaiki mereka melanggar belakang sebuah treler di KM161.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), arah timur tengah malam tadi.

Ketua Polis Maran, Wong Kim Wai, berkata kejadian kira-kira 1 tengah malam itu berlaku ketika bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur menghala Terminal Sentral Kuantan.

“Ketika sedang bergerak di lorong kiri, bas terbabit dipercayai terlanggar belakang treler berkenaan yang sedang bergerak dari arah sama.

“Bagaimanapun, semua 28 penumpang, masing-masing seorang pemandu bas dan treler serta kelindan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, penumpang bas itu dipindahkan ke bas lain untuk ke Kuantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Prof Yatimah Alias mengesahkan menerima laporan 13 pelajarnya menaiki bas awam terbabit kemalangan.

Katanya, semua pelajar itu selamat tiba di kampus UMPSA Gambang dengan menaiki bas ganti sekitar 4 pagi tadi.

“Dengan bantuan Majlis Perwakilan Pelajar dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, pelajar yang tiba di Masjid UMPSA Gambang disantuni serta diberikan bantuan dan sokongan segera seperti makanan, sokongan emosi dan tempat kediaman sementara bagi tujuh pelajar kampus Pekan.

“UMPSA sentiasa mengambil serius keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan pelajar dan mengingatkan pelajar sentiasa mengutamakan keselamatan tidak kira di mana mereka berada,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.