Syabu hampir RM15 juta ditemui di LPT1

Syabu hampir RM15 juta ditemui di LPT1

Polis berkata dadah itu ditemui dalam Mitsubishi Triton dipandu melawan arus, sebelum ditinggalkan di bahu jalan KM211 LPT1 arah Kuantan.

Ketua Polis Pahang Yahaya Othman (tengah) menunjukkan rampasan 468.3kg syabu pada sidang media di IPK Pahang hari ini. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Polis menemui 468.3kg dadah dianggarkan bernilai hampir RM15 juta dalam sebuah pacuan empat roda di KM211 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah Kuantan, Selasa lalu.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata kenderaan itu dijumpai pasukan peronda lebuh raya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman semasa Op Utama Zon Timur antara 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Beliau berkata, ketika operasi, pasukan peronda menerima maklumat sebuah Mitsubishi Triton dipandu melawan arus.

“Bertindak atas maklumat, pasukan peronda membuat pemantauan di LPT dan menemui kenderaan itu di bahu jalan dalam keadaan pintu berkunci tanpa pemandu dan penumpang,” katanya pada sidang media di IPK Pahang di sini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di bahagian belakang dan dalam kenderaan itu menemui 22 plastik hitam mengandungi 440 bungkusan bertulisan “chinese pin wei” berisi ketulan kristal jernih dipercayai syabu.

“Usaha mengesan pemilik kenderaan masih dijalankan dan mana-mana pemandu mempunyai rakaman kamera papan pemuka ketika kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.