
Peguam, Ong Chee Kwan yang mewakili 1MDB dan 2 anak syarikatnya, menemui Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Khatijah Idris hari ini untuk memohon kelulusan bagi syarat penjualan itu.
“Kami akan mengiklan jualan itu di surat khabar tempatan dan antarabangsa.”
Seorang lagi peguam 1MDB, Jeremy M Joseph, berkata pembida yang berminat dikehendaki meletakkan deposit AS$1 juta (kira-kira RM4.2 juta).
Katanya, pusingan kelayakan akan diadakan untuk proses bidaan bagi memastikan hanya pembeli yang benar-benar berminat.
“Kami mahu memastikan hanya pembeli serius tampil.”
Ong berkata, sebaik sahaja bidaan diterima, surat akan dihantar kepada pembeli.
“Pembeli perlu membayar 10% daripada harga jualan dalam 5 hari bekerja bank dengan baki 90% lagi dibayar dalam 10 hari perbankan.”
Katanya, 1MDB dan kerajaan berharap Equanimity dijual menjelang pertengahan Disember ini.
Pada 5 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan 1MDB dan kerajaan melantik broker serta penilai bagi menjual kapal layar mewah itu yang dipercayai dibeli dengan harga RM1 bilion oleh ahli perniagaan, Low Taek Jho.
Penyiasat Amerika Syarikat (AS) mendakwa Low menggunakan wang diseleweng daripada 1MDB untuk membeli kapal layar itu.
Equanimity kini berlabuh di terminal Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang, selepas Indonesia bersetuju menyerahkannya kepada Malaysia pada 4 Ogos lalu.
Kapal layar itu disita Indonesia Februari lalu atas permintaan AS sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah berkaitan 1MDB yang dilancarkan Jabatan Kehakiman AS.
Bagaimanapun, sebuah mahkamah Indonesia memutuskan kapal itu disita secara salah dan perlu dikembalikan kepada pemiliknya, April lalu.
Polis Indonesia sekali lagi menyita kapal itu Julai lalu, susulan permintaan rasmi untuk bantuan perundangan daripada AS.