Pakar: Garam mengandungi plastik mikro ancam manusia

Pakar: Garam mengandungi plastik mikro ancam manusia

Kajian Greenpeace menemukan lebih 90% garam yang digunakan untuk bahan masakan di seluruh dunia didapati mengandungi mikro plastik.

Garam yang dihasilkan negara Asia didapati paling tinggi kandungan plastik mikro. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 90% jumlah garam di seluruh dunia mengandungi plastik mikro yang akan menjejaskan kesihatan manusia dengan serius, kata pakar biologi.

Dr Fauziah Shahul Hamid dari Institut Sains Biologi, Universiti Malaya berkata, kajian Greenpeace baru-baru ini menemukan lebih 90% garam yang digunakan untuk bahan masakan di seluruh dunia didapati mengandungi mikro plastik.

Menurutnya, hasil penyelidikan itu menunjukkan 39 jenama garam dari 21 negara di seluruh dunia, termasuk negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam mengandungi plastik mikro.

“Ia mendapati kandungan mikro plastik berubah secara dramatik di antara garam jenama yang berlainan yang menunjukkan Asia adalah paling tinggi.

“Sampel garam laut Indonesia didapati mempunyai jumlah plastik mikro yang tertinggi,” katanya semasa ditemui pada ISWA World Congress 2018.

Centre For Research In Waste Management Universiti Malaya merumuskan plastik mikro adalah serpihan kecil bersaiz kurang daripada 5mm yang terhasil daripada kepingan plastik lebih besar yang dibuang dalam laut.

Fauziah menambah, plastik mikro juga menyerap bahan kimia iaitu “dioxide”.

“Dioxide akan terus menyerang organ dalaman manusia seperti sistem saraf, saluran darah manusia dan banyak lagi.

Fauziah Shahul Hamid (tengah) bersama pelajarnya semasa membuat pembentangan di ISWA World congress 2018.

“Ia sangat bahaya. Semua garam di dunia telah tercemar dan negara Asia adalah paling tinggi kandungan plastik mikro. China adalah negara yang paling tinggi jumlah plastik mikro dalam kandungan garam,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Siti Khadijah Abd Gani berkata, Malaysia tidak mempunyai mesin atau alat yang mendedahkan isi kandungan garam yang tercemar akibat plastik mikro.

“Industri pembuatan garam di Malaysia mengambil air laut dan memasukkannya ke dalam kolam-kolam di pesisir pantai dan dibiarkan kering hingga bertukar menjadi garam.

“Tidak ada mesin atau alat untuk mendedahkan isi kandungan garam yang terdapat plastik mikro dengan lebih terperinci.

Katanya, garam di Malaysia tidak mempunyai spesifik jenama dan tiada isi kandungan. Ia amat berisiko bagi kehidupan manusia kerana bukan hanya garam tetapi makanan laut yang diambil juga mengandungi plastik mikro.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.