
Pengerusi Datuk Rashid Din berkata individu yang bukan ahli parti daripada bahagian yang memilih akan diberi satu borang khas iaitu Borang 11 atau juga dikenali sebagai borang pengundi ragu.
“Dia akan dibenarkan mengundi. Tak ada masalah. Selepas itu bila Borang 11 datang kepada kami, borang itu tidak akan dikira lagi dan akan disimpan dalam ‘pengundi ragu’.
“Kita akan semak nama anda ada atau tidak dalam senarai undi, dan bila nama tak ada dalam senarai, undi anda akan ditolak dan masuk dalam bakul sampah,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Adun Rawang Gan Pei Nei yang membuat laporan polis tentang kehadiran pengundi hantu dalam pemilihan PKR Selayang pada Ahad.
Gan dalam laporannya mendakwa kira-kira 20 pengundi hantu datang menaiki bas dan van dan cuba memasuki pusat mengundi di Bandar Country Homes.
Rashid berkata daripada lebih 200 Borang 11 yang diberikan semasa pemilihan di negeri yang telah selesai memilih, hanya 10% sahaja undi yang diterima.
“Yang lain semua bukan ahli dan kita tolak,” katanya.