Rujuk isu istilah ‘janggal’ kepada DBP, kata Maszlee

Rujuk isu istilah ‘janggal’ kepada DBP, kata Maszlee

Ibu bapa tercengang dengan istilah 'janggal' dan 'melucukan' dalam buku teks Teknologi Maklumat dan Komunikasi Tahun 4.

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Maszlee Malik meminta orang ramai merujuk isu istilah teknikal matapelajaran kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selepas ibu bapa mempersoalkan penggunaan istilah “janggal” dalam buku teks Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) Tahun 4.

“Saya rasa DBP mempunyai standard tertentu, jadi elok ditanya kepada mereka,” katanya kepada pemberita di Program Keselamatan Kanak-Kanak Sahabat B.I.J.A.K “Safe & Protect” di DBP hari ini.

Baru-baru ini, laporan “Mum stumped by technical gobbledygook in school textbook” oleh FMT menjadi perbualan dan dikongsi ramai pembaca. Dalam laporan itu, Siti Norhayati, 37, ibu kepada 4 orang anak, tercengang membaca istilah teknologi maklumat yang “janggal” dan “melucukan” semasa membantu anaknya mengulangkaji pelajaran.

“Kita semua pernah dengar ‘tetikus’ dan ‘kekunci’ tapi bagaimana dengan ‘mendefregmentasi storan luaran’,” katanya.

Norhayati terpaksa memberitahu anaknya supaya menghafal istilah-istilah bermasalah itu walaupun mereka tidak memahaminya. Beliau menyarankan penggunaan istilah teknologi maklumat yang sudah sedia difahami dan digunakan orang ramai seperti “disk” menggantikan “cakera”.

Sementara itu, Maszlee turut mengulas ketidakpuasan hati kumpulan pelajar Universiti Malaya (UM) tentang kenaikan mendedak yuran universiti kepada RM50 untuk pelajar tempatan sehingga RM3,000 untuk pelajar asing.

“Saya sedang berhubung dengan UM. Universiti awam mempunyai autonomi berkaitan yuran,” katanya.

Mengenai rancangan memperkenalkan latihan renang kepada pelajar sekolah, Maszlee berkata pada peringkat awal ia hanya melibatkan sekolah-sekolah yang berdekatan kolam renang.

“Kita mula sedikit-sedikit. InsyaAllah di penghujung hari semua anak-anak akan diajar renang. Ini termasuk dalam keselamatan kanak-kanak,” katanya, dan menambah pihaknya tidak mahu melihat ada kes murid lemas.

Sementara itu, Maszlee mengarahkan kementerian memastikan semua sekolah agar memperolehi sijil siap dan pematuhan (CCC) dan sijil perakuan kelayakan menduduki bangunan (CF).

“Saya difahamkan banyak rupanya sekolah yang telah dibina tak dapat CCC dan CF, ini merupakan antara perkara-perkara dilakukan pada masa lalu yang tak boleh berkrompomi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.