‘Had 2 penggal KM perlu ambil kira kuasa autonomi Sabah, Sarawak’

‘Had 2 penggal KM perlu ambil kira kuasa autonomi Sabah, Sarawak’

Ketua menteri Sarawak berkata, Perlembagaan perlu dipinda untuk membolehkan dasar itu dilaksanakan.

Abang Johari Openg berkata, beliau perlu berbincang dengan semua parti politik untuk mendapatkan pandangan pemimpin di Sarawak. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Tempoh perkhidmatan jawatan ketua menteri (KM) yang dihadkan kepada 2 penggal adalah langkah baik, tetapi ia perlu mengambil kira kuasa autonomi Sarawak dan Sabah, kata Datuk Abang Johari Openg.

“Secara dasarnya ia baik, tetapi Sarawak dan Sabah mempunyai kuasa autonomi kerana jika perkara itu berlaku, pindaan terhadap Perlembagaan kita perlu dilakukan.

“Sebarang keputusan saya perlu berbincang dengan semua parti politik untuk mendapatkan pandangan mereka,” kata ketua menteri Sarawak itu selepas merasmikan sebuah hotel butik hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika membentangkan laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat berkata, tempoh perkhidmatan jawatan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri dihadkan kepada 2 penggal sebagai langkah segera bagi mereformasikan sistem politik.

Mengulas pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK11, Abang Johari berkata, secara keseluruhan semuanya sama, kecuali beberapa perubahan.

Ditanya harapan Sarawak mengenai Bajet 2019 yang akan dibentangkan 2 November ini, beliau mahu lebih banyak peruntukan disalurkan kepada negeri itu.

“Harapan saya banyak duitlah (diberikan). Banyak projek di Sarawak telah dibatalkan, saya tidak memiliki senarai tersebut ketika ini, namun saya dimaklumkan sudah banyak projek dibatalkan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.