
Semalam, Kayveas mendakwa beliau menyerahkan 6 nama dalam parti itu yang mengambil dana itu, kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ada 2 angka, RM16 juta dan RM20 juta yang mereka terima atas nama myPPP, selepas tindakan mereka yang dikatakan memecat saya.
“Wang ini yang mereka dakwa terima daripada Barisan Nasional, tidak pernah masuk ke akaun myPPP,” katanya kepada The Star semalam.
Naib Presidennya, Datuk Loga Bala Mohan berkata, parti itu mengalu-alukan siasatan SPRM dan mahu butiran transaksi itu didedahkan.
“Kami percaya ini mungkin cubaan terdesak untuk mengalih perhatian daripada beliau yang sedang disiasat SPRM.
“Kami yang berada dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat myPPP tidak nampak, dengar atau terima wang itu.
“Ini menimbulkan persoalan berapa banyak yang sebenarnya diterima Kayveas selama ini untuk mencecah RM36 juta.”
Katanya, jika dana itu diterima myPPP seperti didakwa Kayveas, maka ahli parti itu berhak tahu di mana dana itu dialihkan dan apa kegunaannya.
Beliau berharap pihak berkuasa akan menyiasat dengan teliti sumber bagi RM36 juta itu untuk mengesahkan dakwaan Kayveas.