Politik wang: JPP PKR belum terima aduan, kata pengerusi

Politik wang: JPP PKR belum terima aduan, kata pengerusi

Rafizi semasa berucap di Seremban mendakwa politik wang berlaku secara berleluasa di 6 negeri yang sudah mengadakan pemilihan parti.

Pengerusi JPP Datuk Rashid Din.
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR masih belum menerima aduan berhubung dakwaan calon jawatan timbalan presiden Rafizi Ramli tentang berlakunya amalan politik wang dalam pemilihan parti itu yang sedang berjalan .

Pengerusi JPP Datuk Rashid Din memberitahu FMT hari ini, pihaknya belum menerima apa-apa aduan berkaitan dakwaan itu hingga kini.

Rafizi semasa berucap pada satu majlis amanat sempena pemilihan PKR di Seremban baru-baru ini mendakwa politik wang berlaku secara berleluasa di 6 negeri yang sudah mengadakan pemilihan.

Beliau yang merujuk kepada pihak bertanggungjawab melakukannya sebagai “sebelah sana” mendakwa amalan politik wang tidak pernah berlaku dalam PKR sebelum ini.

Mengulas lanjut, Rashid berkata pihaknya tidak boleh mengambil tindakan berdasarkan ceramah berhubung dakwaan Rafizi.

Menurutnya, panel disiplin JPP akan membuat keputusan sama ada mahu memanggil bekas Ahli Parlimen Pandan itu bagi mendapatkan penjelasan.

“Kita ada panel disiplin, panel akan membuat keputusan,” katanya.

Rashid berkata, JPP ada menerima aduan daripada pihak lain berhubung amalan politik wang, tetapi pengadu seorang yang “low profile”.

“Keterangan beliau tidak berapa nak jelas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.