Imran Khan berhasrat lawat Malaysia

Imran Khan berhasrat lawat Malaysia

Dr Mahathir berkata beliau berbesar hati dan mengalu-alukan kunjungan Imran.

Imran Khan dipilih sebagai perdana menteri Pakistan dalam pilihan raya pada 25 Julai lalu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Pakistan yang baru, Imran Khan menyuarakan hasrat untuk melawat Malaysia, 2 bulan selepas parti pimpinan beliau memenangi pilihan raya negara itu Julai lepas.

Dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, Imran berkata beliau mahu melawat negara ini “dalam masa terdekat”.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya menyebut, Dr Mahathir berkata beliau berbesar hati dan mengalu-alukan kunjungan Imran.

Imran Khan dipilih sebagai perdana menteri Pakistan dalam pilihan raya pada 25 Julai lalu selepas parti pimpinan beliau Tehreek-e-Insaf (PTI) mengalahkan pesaingnya Shehbaz Sharif.

Semasa berkempen pilihan raya, Imran mengucapkan tahniah kepada Dr Mahathir atas kejayaan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum 9 Mei.

“Perbuatan rasuah bekas perdana menteri Najib Razak merupakan sebab utama Dr Mahathir keluar daripada persaraan 15 tahun beliau walaupun kerajaan Najib cuba memanipulasi pilihan raya tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.