
Pengarah Penerangan dan Komunikasi Suhaizan Kayat berkata kenyataan Datuk Osman Sapian jelas menyebut walaupun tiada lesen dikeluarkan untuk penganjuran pesta sedemikian tetapi tiada halangan bagi orang bukan Islam untuk minum di premis persendirian selagi ia mematuhi syarat ditetapkan.
“Kenyataan ini dengan jelas menyatakan keputusan kerajaan negeri merujuk kepada pesta arak secara terbuka dan bukan meliputi penjualan arak kepada orang bukan Islam.
“PH Johor memandang serius mana-mana pihak yang cuba menggambarkan seolah-olah kerajaan Johor membuat keputusan untuk menafikan hak orang bukan Islam dan mengharamkan lesen penjualan minuman keras kepada orang bukan Islam,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Suhaizan, keputusan itu berdasarkan pertimbangan menjaga sensitiviti budaya Bangsa Johor di samping hak masyarakat bukan orang Islam terus dipelihara selagi tidak melanggar mana-mana peraturan sedia ada.
“Justeru, maklumat ini seharusnya jelas dan sebarang manipulasi dari mana-mana pihak harus dihentikan serta-merta. Ini bagi memastikan berita-berita fitnah dan adu domba antara kaum atau agama dapat dielakkan,” tambah Suhaizan.
“PH Johor yakin rakyat dapat memahami dan menerima keputusan ini demi memastikan hubungan antara kaum dapat terus berjalan harmoni dan saling hormat-menghormati,” kata beliau.