Wakil rakyat dikompaun merokok dalam Parlimen

Wakil rakyat dikompaun merokok dalam Parlimen

Tindakan itu dikenakan sehari selepas larangan merokok dikuatkuasakan di dalam bangunan Parlimen.

KUALA LUMPUR:
Seorang ahli Parlimen antara 8 individu dikenakan kompaun kerana merokok di dalam bangunan Parlimen, sejak larangan itu dikuatkuasakan semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagaimanapun tidak mendedahkan identiti wakil rakyat itu.

Katanya, kafeteria di bangunan utama, tempat rehat wakil rakyat dan ruang telaga udara diisytiharkan kawasan larangan merokok, termasuk untuk pengguna vape, di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Perokok boleh dikenakan kompaun tidak lebih RM500 dan mereka boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih 2 bulan atau kedua-duanya sekali, jika gagal membayar denda itu.

“Semangat nak hentikan rokok dalam restoran itu mesti ada, orang yang tak merokok akan terseksa.

“Dan bagi pekerja yang bukan perokok, mereka akan menghidu asap dari rokok tersebut.

“Kalau kita mengizinkan (ruang merokok), kita kembali kepada ruang ‘passive smoking’ yang memudaratkan,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Larangan merokok di Parlimen itu dikuatkuasakan semalam, menjelang pelaksanaan larangan merokok di semua restoran, termasuk gerai dan warung tepi jalan seluruh negara, mulai 1 Januari 2019.

Dzulkefly berkata, kerajaan tetap melarang pengusaha restoran menyediakan ruang merokok di premis mereka, walaupun mendapat keluhan larangan itu akan mengurangkan pelanggan.

Sementara itu, Ketua Sektor Kawalan Tembakau Kementerian Kesihatan, Dr Ariana Hassan berkata, 23 pegawai dikerahkan untuk memantau zon larangan merokok di dalam Parlimen.

“Semalam hari pertama kita keluarkan 8 kompaun kesalahan, pagi ini belum ada lagi kes. Kami pantau 3 zon merokok sepanjang Parlimen bersidang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.