Pekerja stesen minyak letak jawatan selepas dibelasah

Pekerja stesen minyak letak jawatan selepas dibelasah

Wan berumur 24 tahun merupakan anak sulung daripada 8 adik beradik

CCTV stesen minyak itu menunjukkan mangsa dikasari seorang lelaki berbadan besar selepas ditarik keluar dari kaunter kedai serbaneka.
PETALING JAYA:
Seorang pekerja stesen minyak berhenti kerja, selepas dibelasah sekumpulan penunggang motosikal dipercayai akibat salah faham, awal bulan ini.

Penyelianya, Erni Nadia Zahari berkata, mangsa yang hanya dikenali sebagai Wan berumur 24 tahun itu bekerja di stesen minyak Petronas cawangan Sungkai hampir 3 tahun.

“Ya betul, saya dah dapat surat berhenti yang dia beri. Saya dapat surat itu pagi tadi,” katanya ketika dihubungi FMT.

Semalam, 2 klip video tersebar di media sosial menunjukkan seorang lelaki berbadan besar mengasari mangsa dengan menariknya keluar dari kaunter kedai serbaneka di sebuah stesen minyak.

Mangsa kemudiannya ditampar beberapa kali dan ditendang di bahagian perut sehingga beliau terjatuh.

Pengguna media sosial menyuarakan kemarahan dan rasa tidak puas hati selepas menonton klip video kira-kira 3 minit itu.

FMT cuba menghubungi Wan, tetapi gagal.

Erni berkata, Wan tidak dapat dihubungi, sama ada menerusi panggilan atau WhatsApp sejak lewat malam tadi.

Katanya, Wan mempunyai Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan bekerja di stesen minyak itu demi membantu menyara kehidupan keluarganya.

“Dia kerja nak bantu sara adik-beradik dia, sebab setahu saya, adik-beradik dia memang ramai dah masih bersekolah.

“Wan tiada masalah bekerja di sini, saya pun tidak boleh nak berbincang dan bercakap dengannya lebih lanjut kerana telefon bimbit beliau tidak dapat dihubungi sejak semalam lagi.”

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tapah, Wan Azharuddin Wan Ismail dipetik Bernama sebagai berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 12.45 tengah hari, 6 Oktober lalu akibat salah faham ketika mengisi minyak.

Beliau berkata, mangsa sedang bekerja di kaunter stesen minyak itu sebelum didatangi sekumpulan penunggang motosikal yang mahu mengisi minyak.

“Salah seorang lelaki tersebut memesan untuk mengisi minyak, tetapi tidak memaklumkan kepada mangsa yang bertugas di kaunter untuk mengisi minyak jenis RON97.

“Mangsa kemudiannya memberikan minyak RON95 menyebabkan lelaki itu tidak berpuas hati, sebelum sekumpulan kawan lelaki itu kembali semula ke kaunter dan menarik mangsa keluar, biarpun mangsa telah meminta maaf,” katanya sambil menambah kes itu disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya difahamkan mangsa turut mengeluarkan kata-kata kurang sopan sehingga menimbulkan salah faham dan seorang daripada lelaki itu memukul serta membaling air tin ke arah mangsa menyebabkan beliau lebam di bahagian muka.

Katanya, polis tidak dapat mengenal pasti suspek terbabit dan nombor pendaftaran motosikal juga tidak jelas dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.