Lelaki 50-an disyaki pengedar dadah ditahan buat kali ke-15

Lelaki 50-an disyaki pengedar dadah ditahan buat kali ke-15

Pemeriksaan polis menemui 10 paket berisi bahan disyaki heroin.

SEREMBAN: Seorang lelaki disyaki pengedar dadah ditahan buat kali ke-15 dalam serbuan di tepi jalan persimpangan Taman D’Pinggiran Kota Lukut, Port Dickson Sabtu lepas.

Ketua Polis Port Dickson Aidi Sham Mohamed berkata ketika serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik pada 9.30 pagi, suspek yang duduk di atas motosikal mencampakkan barangan disyaki dadah ke atas rumput berhampiran jalan.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui 10 paket plastik lutsinar berisi bahan ketulan kelabu disyaki dadah berbahaya jenis heroin.

“Suspek yang berusia 50-an itu merupakan pengedar tegar ekoran telah ditahan sebanyak 15 kali oleh polis dan kini suspek direman sehingga Jumaat untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, seorang lelaki berusia 25 tahun yang terlibat dalam kes samun warga Pakistan di jalan Rumah Rakyat Kampung Sawah Bukit Pelandok ditahan dalam operasi khas semalam.

Aidi Sham berkata ketika serbuan didapati barangan yang disamun ditemui bersama suspek.

“Dalam kejadian samun itu, mangsa seorang warga Pakistan ketika menaiki motosikal melalui kawasan berkenaan telah diarahkan berhenti oleh suspek yang mengacukan sebilah parang ke arah mangsa sebelum melarikan diri dengan duit dan barang milik mangsa.

“Wang tunai berjumlah RM50 dan 2 buah telefon bimbit mangsa diambil suspek dengan anggaran kerugian sebanyak RM500, bagaimanapun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya suspek kini ditahan reman selama 7 hari bermula semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.