
Datuk Osman Sapian berkata idea jambatan baharu menggantikan Tambak Johor itu, yang dicetuskan Dr Mahathir dari 1996 lagi, kini dalam perancangan semula.
“Itu adalah kehendak Dr Mahathir. Dulu dia suruh Tun Abdullah Ahmad Badawi tak mahu buat. Datuk Seri Najib Razak tak mahu buat.
“Saya ikut jika Dr Mahathir mahu jambatan ini diteruskan. Ia mempunyai banyak kebaikan,” katanya kepada pemberita di ruang legar Parlimen hari ini.
Perbincangan mengenai projek jambatan baharu menggantikan Tambak Johor yang digunakan sejak 1923 diadakan sejak 1997 namun menemui jalan buntu sehinggalah ia dibatalkan pada 2006.
Ia digelar jambatan bengkok kerana jambatan itu direka untuk melengkung dalam perairan negara sebelum bertemu dengan bahagian tambak di Singapura.
Perobohan tambak dalam perairan negara dijangka membolehkan kapal dagang melalui Selat Tebrau dan merancakkan industri di Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang, dan melancarkan aliran air di Selat Tebrau.