Mistik kain cindai jadi tarikan Galeri Tenun Johor

Mistik kain cindai jadi tarikan Galeri Tenun Johor

Kain cindai dipercayai mempunyai azimat dan boleh digunakan untuk mempertahankan diri.

Kain tenun berusia 100 tahun bernama “Cindai” adalah antara artifak tertua yang dipamerkan di Galeri Tenun di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Jalan Sungai Chat, Johor Bharu.

Penolong Kurator Galeri Tenun Johor Roslinda Mohd Rosli berkata kain tenun itu yang dipercayai berasal dari Riau itu adalah antara yang termahal dan tertua diperolehi Yayasan Warisan Johor (YWJ) sebagai koleksi galeri itu dalam usahanya untuk memelihara warisan serta menarik minat masyarakat terhadap seni tenun.

“Kain Cindai yang berukuran 264 cm x 89 cm itu dipercayai pernah digunakan sebagai selendang dan juga perubatan. Malah, kain ini dipercayai mempunyai azimat dan boleh digunakan untuk mempertahankan diri,” kata beliau kepada Bernama ketika ditemui di galeri itu, baru-baru ini.

Selain kain Cindai, terdapat kain Khmer dipercayai dari Thailand yang bermotifkan gajah, kain Telepuk juga dari Riau dan dipercayai berusia lebih 50 tahun serta kain Berayat, yang masih dalam kajian mengenai tulisannya yang dipercayai dari tulisan Jawi atau dari bahasa Sanskrit, juga dipercayai digunakan dalam perubatan.

Menurut Roslinda, pengunjung boleh mempelajari sejarah kain tenun itu sendiri serta melihat sendiri artifak-artifak yang ada di galeri berkenaan memandangkan seni warisan itu semakin dilupakan.

“Objektif kita mengadakan galeri itu adalah untuk mengembalikan minat masyarakat terutamanya generasi muda terhadap seni warisan tenun yang kita lihat makin hilang ditelan zaman. Dengan adanya, galeri ini kita harap akan lebih ramai lagi berminat untuk mempelajari seni tenun ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Korporat YWJ Shafie Ahmad berkata pengunjung juga boleh melihat sendiri 10 reka corak serta motif songket dan tenun yang dicipta dan dipatenkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia.

Menurut beliau, Galeri Tenun itu diwujudkan atas titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar sendiri bagi memberi pengetahuan dan pendedahan kepada masyarakat mengenai pembuatan kain tenun Johor.

“Pengunjung bukan sahaja dapat melihat keindahan 10 reka corak serta motif kain tenun Johor yang terdiri daripada 4 kain songket – 2 khusus untuk Sultan Johor, satu untuk Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dan satu untuk Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Sementara 6 rekaan lagi khas untuk rakyat Johor yang bermotifkan flora dan fauna di Johor yang saya kira sangat halus dan indah,” kata beliau lagi.

Selain itu, terdapat pelbagai program turut dilaksanakan termasuk bengkel tenun yang dibuka khas bukan sahaja untuk kakitangan YWJ tetapi juga pelajar dan juga orang awam.

“Para pengunjung juga boleh mendapatkan atau menempah sendiri songket tenun Johor yang dipatenkan yang dijual khas hanya di galeri ini,” kata beliau.

Galeri Tenun ini dibuka kepada orang awam pada setiap hari kecuali Jumaat dan Sabtu dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

Shafie juga berkata orang ramai juga dijemput memeriahkan Festival Hujung Medini di Dataran Penggaram, Batu Pahat pada 6 Okt ini; Pameran Jom ke Dapur di Galeri Dato Onn, Batu Pahat pada 14 Okt ini dan Festival Tari Rakyat Johor di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar mulai 19 hingga 21 Okt ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.