
Menariknya, posting pendakwah muda, nama sebenarnya, Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim yang popular kerana selalu memberi teguran kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menerima lebih 200 respon dalam beberapa jam tawaran itu dimuat naik.
Dengan kebanyakan mereka adalah golongan lesbian, ia dilihat sebagai salah satu penyelesaian berhemah yang berjaya kepada golongan ini.
“InsyaAllah, saya akan taja 20 pakej umrah percuma kepada geng LGBT. Saya mohon semua LGBT yang betul-betul tidak mampu dan nak sangat pergi umrah DM (mesej terus saya), “katanya di laman Instagramnya sebelum ia kemudian dipadam seperti yang dipetik di Mstar Online.

PU Amin akui merancang program tersebut sejak sebulan lalu bersama sebuah syarikat pengendali umrah kepada golongan miskin, mualaf dan gelandangan.
Kini, ekoran tawaran itu PU Amin berkata, pihaknya akan melakukan saringan untuk memilih mereka yang benar-benar layak dan harus menjalani beberapa proses keagamaan sebelum menunaikan umrah.
Mereka yang terpilih dari golongan LGBT ini diwajibkan mengikuti kelas fardhu ain dan akidah serta kelas bimbingan Al-Quran. Kelas-kelas ini akan dikendalikan oleh PU Amin sebelum rombongan pertama akan bermula pada bulan Disember ini.
“Kesemua 20 individu LGBT akan dibahagikan ke dalam beberapa kumpulan bakal jemaah yang terdiri daripada pemuda, miskin dan mualaf,” ujarnya.
Beliau juga menyatakan untuk melakukan usaha ini secara tertutup tanpa mendedahkan identiti LGBT yang akan mengambil bahagian.