Kulit berkedut dan cepat tua, ini sebabnya

Kulit berkedut dan cepat tua, ini sebabnya

Makan terlalu banyak gula boleh memberi kesan negatif kepada kulit anda dalam jangka masa panjang

Kulit berkerut atau berkedut, garisan-garisan nipis di wajah sememangnya merisaukan terutama sekali jika dibandingkan rakan seusia yang masih awet muda.

Pernahkah anda terfikir mengapa sesetengah daripada kita lebih cepat kelihatan tua berbanding lain yang sebaya?

Ketika masih muda, kita mungkin tidak pernah terfikir mengenai kulit berkerut, garis halus atau sebarang cacat cela pada wajah. Namun meningkat dewasa, semuanya menjadi kebimbangan utama.

Percayalah, ia tidak berlaku dalam semalaman tetapi pasti ada punca yang disebabkan amalan makan minum, aktiviti luar dan pelbagai pendedahan lain yang anda terlibat dengan sewaktu muda.

Menurut laporan portal kesihatan milik pakar kulit dan dermatologi, Dr. Debra Jaliman, sekurang-kurangnya 6 tabiat di bawah mempengaruhi seseorang berdepan masalah penuaan pada kadar cepat.

1. Diet

Menurut Jaliman, makan terlalu banyak gula boleh memberi kesan negatif kepada kulit anda dalam jangka masa panjang. “Gula akan mengikat kolagen dan mengeras, menjadikan penuaan kulit lebih cepat,” katanya.

2. Terlalu banyak alkohol

Alkohol boleh menjadikan kulit kering dan membesarkan saluran darah di dalam kulit. Jadi kulit akan kelihatan kemerahan. Keadaan kulit dehidrasi akan kelihatan lebih tua. Di samping itu, masalah ruam wajah juga akan lebih teruk.

3. Bantal

Kulit regenerasi setiap malam, maka penting untuk kita memperoleh tidur yang berkualiti. Jaliman mengesyorkan penggunaan bantal satin supaya kulit tidak menggosok pada kain bantal. Katanya kain bantal biasa boleh menyebabkan kemunculan kedutan lebih cepat apabila kitamenoleh ke kanan dan kiri pada waktu malam.

4. Berjemur

Jika anda suka berjemur, gunakan pelindung matahari sepanjang masa. Ini kerana kerosakan kulit yang disebabkan oleh cahaya matahari adalah kumulatif. Malah pendedahan selama hanya 10 minit boleh menyebabkan kesan yang berpanjangan yang menimbulkan masalah besar termasuk penuaan kulit yang cepat. Pastikan anda menggunakan pelindung matahari yang betul ke seluruh badan yang mampu melindungi kulit dari sinaran UVA (yang memasuki liang-liang kulit) dan UVB (yang membakar kulit).

5. Merokok

Merokok tidak memberi kesan yang baik kepada kesihatan, termasuk kulit. Kulit paling terkesan kerana ia mudah dikesan dari luar. “Adalah penting untuk mengelakkan asap rokok kerana amalan merokok mengurangkan bekalan darah ke kulit dan menyebabkan kedutan pada muka secara umum,” kata Jaliman.

6. Pencemaran udara

Pencemaran udara juga boleh merosakkan kulit pada tahap yang membimbangkan. Maka, anda perlu sentiasa berhati-hati dan menyedari keadaan kawasan sekeliling terutama sekali jika anda keluar rumah ke lokasi yang tercemar.
Ekoran itu Jaliman mencadangkan agar kita sentiasa membesihkan kulit, mengggunakan skrub untuk menghilangkan kotoran dan sel-sel kulit mati. Beliau juga mencadangkan supaya menggunakan produk penjagaan kulit yang kaya dengan antioksidan agar ia dapat melawan radikal bebas daripada pencerobohan alam sekitar, seperti pencemaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.