Annuar: Jangan buat pendakwaan terpilih ke atas pemimpin Umno

Annuar: Jangan buat pendakwaan terpilih ke atas pemimpin Umno

Setiausaha agung Umno itu berharap setiap tindakan dan siasatan ke atas pemimpin Umno dilakukan mengikut prosedur serta undang-undang.

Annuar Musa menasihatkan pemimpin Umno yang disiasat pihak berkuasa menjadikannya peluang untuk membersihkan nama sendiri. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tan Sri Annuar Musa menggesa kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak melakukan pendakwaan terpilih terhadap pemimpin Umno yang disiasat pihak berkuasa.

Setiausaha agung Umno itu berharap setiap tindakan dan siasatan ke atas pemimpin Umno dilakukan mengikut prosedur serta undang-undang.

“Selagi mana ia dijalankan di bawah prinsip keluhuran undang-undang, kita harap tindakan dan proses terhadap sesiapa sahaja menghormati prinsip tersebut.

“Kekhuatiran terbenih apabila menteri kewangan yang sedang menjalani perbicaraan dan saksi-saksi dipanggil, tapi pendakwaan tak dibuat, jadi kekeliruan mula terbit.

“Maka, kita harap apa-apa yang nak dilakukan oleh kerajaan bukan berdasarkan pendakwaan terpilih selama mana prinsip undang-undang dipatuhi,” katanya dalam sidang media di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Ahli Parlimen Ketereh itu turut menasihatkan pemimpin Umno yang disiasat pihak berkuasa, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadikannya peluang untuk membersihkan nama sendiri.

“Yang penting, kalau kita tak lakukan kesalahanan, tak perlu kita nak bimbang.

“Kita harap semua pihak bagi keadilan yang sewajarnya dan bagi rakan-rakan dalam Umno satu peluang untuk membersihkan nama.”

Beliau mengulas perintah reman 4 hari yang diberikan majistret ke atas bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membantu siasatan beberapa kes rasuah.

Sementara itu, Annuar berkata, kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak bersetuju dengan keputusan Barisan Nasional (BN) tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Port Dickson, sekadar pandangan peribadi bekas naib presiden Umno itu.

Katanya, sebelum membuat keputusan itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah membuat 4 siri rundingan dengan Majlis Tertinggi Umno, ketua bahagian, ahli Parlimen dan presiden parti komponen BN.

“Saya fikir pandangan peribadi ini ada pelbagai, hatta dalam Majlis Tertinggi, perjumpaan kita dengan ketua bahagian dan juga perbincangan kita dengan ahli Parlimen, banyak pendapat peribadi.

“Tetapi, apa yang telah dilakukan oleh pengerusi BN adalah secara konsensus.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.