1 maut, 11 cedera pagoda lama di Thailand runtuh ketika diubah suai

1 maut, 11 cedera pagoda lama di Thailand runtuh ketika diubah suai

Pekerja terbabit sedang mengangkut galang besi untuk menyokong asas pagoda Wat Phraya Tham Voraviharn apabila ia senget dan jatuh terhempas.

Wat Phraya Tham Voraviharn dibina semasa pemerintahan Raja Rama III pada 1800-an. (Kredit gambar: Bangkok Post)
BANGKOK:
Seorang terbunuh manakala 11 lagi cedera selepas sebuah pagoda lama runtuh semasa pengubahsuaian di Wat Phraya Tham Voraviharn di Bangkok pada Selasa, lapor agensi berita China Xinhua.

Mengesahkan insiden itu pada lewat Selasa, Pusat Penyelamat Erawan berkata pasukan penyelamat pada mulanya menarik keluar 11 pekerja dari timbunan runtuhan dan mendapati 3 daripada mereka cedera parah.

Tidak lama selepas itu, seorang ditemui maut kerana terperangkap di bawah runtuhan.

Polis berkata pekerja terbabit sedang mengangkut galang besi untuk menyokong asas pagoda apabila ia senget dan jatuh terhempas.

Beberapa saksi berkata mereka terdengar bunyi dentuman yang kuat serta nampak serpihan jatuh dan menghujani pekerja terbabit.

Pekerja penyelamat berkata mereka terpaksa mengambil masa beberapa jam sebelum boleh mengeluarkan mangsa yang cedera dan terperangkap di bawah timbunan runtuhan.

Wat dan pagoda itu, yang direka sebagai sebuah menara loceng, dikatakan dibina semasa pemerintahan Raja Rama III pada 1800-an.

Kerja-kerja pemulihan itu dilakukan oleh Jabatan Seni Halus sejak Mei tahun ini.

Wat Phraya Tham adalah wat kelas ke-3 diraja pada akhir era kerajaan Ayutthaya yang ditemui berhampiran Wat Arun di sebelah barat Sungai Chao Phraya.

Wat itu termasuk sebuah dewan pentahbisan dengan ukiran mimbar kayu terkenal dan sebuah pagoda yang berbeza.

Jabatan Seni Halus Thailand membuat keputusan untuk melakukan pengubahsuaian selepas beberapa jurutera merumuskan pagoda perlu diubah suai bagi mengukuhkan asasnya.

Jabatan itu berkata ia akan menyiasat punca pagoda tersebut runtuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.