DBKL akan tutup semua pusat tahfiz haram, kata menteri

DBKL akan tutup semua pusat tahfiz haram, kata menteri

Menteri wilayah berkata, ia termasuk pusat tahfiz tidak berdaftar di Kepong, di mana pengetuanya didakwa meliwat 9 pelajarnya.

Khalid Samad berkata, DBKL akan menutup semua pusat tahfiz haram di Kuala Lumpur bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menutup semua pusat tahfiz tidak berdaftar dan beroperasi secara haram bagi memastikan keselamatan serta kebajikan pelajar terjamin, kata Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad.

Beliau dipetik Bernama berkata, ia termasuk pusat tahfiz tidak berdaftar di Kepong, di mana pengetuanya didakwa meliwat 9 pelajarnya.

Katanya, DBKL akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk memantau semua pusat tahfiz di ibu kota.

“Kami tidak mahu pusat-pusat tahfiz ini diberi kelonggaran hanya kerana ia institusi keagamaan, ia tetap juga perlu berdaftar dengan DBKL dan Jawi.

“Kami juga akan mengetatkan syarat kepada sekolah-sekolah berasrama, khususnya sekolah tahfiz bagi menjaga kualiti daripada aspek keselesaan dan keselamatan,” katanya selepas merasmikan Pusat Mediasi Komuniti Strata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Khalid berkata, ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk memeriksa status pusat tahfiz sebelum menghantar anak mereka ke institusi terbabit.

Pengetua sebuah pusat tahfiz di Kepong yang beroperasi secara haram, ditahan polis kerana dipercayai meliwat 9 pelajarnya berusia 11 hingga 16 tahun.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob dilaporkan berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditahan sehari selepas laporan dibuat seorang guru lelaki pusat tahfiz itu pada 13 September lalu.

Suspek itu kemudiannya didakwa dengan 11 pertuduhan di Mahkamah Seksyen Putrajaya, Rabu lalu, mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa dilaporkan berkata, pihaknya tiada kuasa menutup tahfiz haram di Kuala Lumpur kerana ia di bawah kuasa DBKL.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.