Masyarakat yang meningkat tua perlukan GST, kata pakar

Masyarakat yang meningkat tua perlukan GST, kata pakar

Statistik kerajaan menunjukkan nisbah penduduk berusia Malaysia terus meningkat daripada 5.4% pada 1970 kepada 8% pada 2010.

Firdaos berkata, SST kurang berkesan sebagai sumber hasil kerana asas kutipannya lebih kecil, selain ruang larian cukai juga lebih luas.
KUALA LUMPUR:
Seorang pakar ekonomi mengkritik singkat pandangan kerajaan kerana menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan menyifatkan keputusan itu gagal mengambil kira penurunan kutipan cukai pendapatan sewaktu penduduk Malaysia meningkat tua.

Bercakap kepada FMT, Firdaos Rosli dari Institut Kajian Strategi dan Antarabangsa (Isis) berkata statistik kerajaan menunjukkan nisbah penduduk berusia Malaysia terus meningkat daripada 5.4% pada 1970 kepada 8% pada 2010.

Menurut statistik, warga berusia negara akan mencapai angka 23.6% daripada jumlah penduduk pada 2050.

“Kerajaan tidak dapat menjana hasil daripada pesara,” kata Firdaos. “Oleh sebab itu GST penting sebagai sumber kutipan hasil daripada kelompok yang lebih luas.

“Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada dasarnya kurang berkesan sebagai sumber hasil kerana asas kutipannya lebih kecil, selain ruang larian cukai juga lebih luas.”

Beliau berkata, GST sepatutnya tidak dimansuhkan, sebaliknya hanya dikurangkan kadar dan diperbanyakkan pengecualiannya.

Firdaos juga tidak bersetuju dengan rancangan kerajaan untuk menamatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), dengan berkata ia sepatutya diteruskan sebagai satu-satunya skim bantuan pindahan tunai.

“Jika kita tamatkan BR1M tetapi menambah subsidi lain seperti subsidi minyak, maka ia lebih buruk kerana subsidi umum juga menguntungkan kelompok yang tidak memerlukannya,” kata beliau.

Beliau merujuk kajian yang menunjukkan penerima bantuan tunai membeli barangan yang membantu mereka menjadi lebih produktif, termasuklah membeli makanan yang menyihatkan mereka.

Bagaimanapun katanya, penerusan BR1M mesti diikuti dengan pemasuhan bantuan tunai lain supaya ia tidak berlapis

“Jika ada hanya satu bentuk bantuan tunai, kita dapat menilai keberkesanannya dan menetapkan sasaran tertentu,” katanya. “Sekiranya terdapat beberapa jenis bantuan tunai seperti sekarang, sukar untuk ditentukan bagaimana bantuan itu digunakan dan sejauh mana keberkesanan masing-masing bantuan itu.”

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata BR1M menjadikan penerimanya bergantung kepada kerajaan, tetapi Fidaos menegaskan golongan yang memerlukan bantuan akan sentiasa wujud.

“Mekanisme bantuan boleh diperbaiki bagi mengatasi masalah salah guna,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.