Pengharaman penyedut minuman plastik, bagaimana golongan OKU?

Pengharaman penyedut minuman plastik, bagaimana golongan OKU?

Penyedut minuman mempunyai peranan sangat penting kepada golongan OKU sebagai alat bantuan minum.

Bermula 1 Januari depan penggunaan penyedut minuman plastik diharamkan di premis menjual makanan dan minuman bagi mengurangkan pencemaran berasaskan plastik. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Organisasi Penyelidikan Dasar Awam Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial mengkritik keputusan kerajaan mengharamkan pengunaan penyedut minuman tanpa mengambil kira golongan orang kurang upaya (OKU) yang menjadikannya alat bantuan minum.

Pegawai eksekutif di Galen Centre, Azrul Mohd Khalib berkata, golongan OKU menggunakan penyedut minuman sebagai alat bantuan untuk minum kerana mereka mempunyai masalah otot, misalnya mereka yang mengidap sindrom Parkinson.

“Penyedut minuman mempunyai peranan yang sangat penting kepada golongan OKU kerana ia memudahkan mereka minum air panas dan sejuk.

“Di samping itu harganya murah dan boleh diguna pakai berulang kali,” katanya kepada FMT.

Bermula 1 Januari depan, penggunaan penyedut minuman plastik diharamkan di semua premis perniagaan menjual makanan dan minuman bagi mengurangkan pencemaran berasaskan plastik dan memulihara alam sekitar.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan berkata, tempoh mendidik masyarakat, terutamanya peniaga akan dilaksanakan sehingga tahun 2020 sebelum tindakan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan sepenuhnya.

Azrul berkata, di pasaran memang terdapat penyedut minuman kertas tetapi ia cepat hancur apabila terkena air dan tidak tahan panas seperti penyedut air plastik yang selalu digunakan di kedai makan dan minuman.

“Kami berharap kerajaan pertimbangkan semula langkah mengharamkan pengunaan penyedut minuman dengan memikirkan penyelesaiaan lain yang dapat membantu golongan OKU terlebih dahulu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.