Saya dihentam, dimaki kerana jumpa LGBT, kata Mujahid

Saya dihentam, dimaki kerana jumpa LGBT, kata Mujahid

Mujahid Yusof Rawa berkata seumur hidup, beliau tidak pernah mengiktiraf aktiviti LGBT kerana beliau juga mempunyai maruah.

Mujahid Yusof Rawa dihentam selepas mengadakan pertemuan dengan aktivis transgender, Nisha Ayub. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata beliau dihentam dan dimaki hamun hanya disebabkan memanggil golongan lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT), pada Ogos lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata seumur hidup, beliau tidak pernah mengiktiraf aktiviti LGBT kerana beliau juga mempunyai maruah.

“Tidak pernah sesaat dalam hidup saya mengiktiraf perbuatan keji itu. Saya tak seburuk manusia. Saya mengaji agama walaupun tak tinggi seperti yang hebat-hebat itu, tetapi apa salah saya?

“Apa dosa saya bila panggil golongan LGBT duduk dengan saya dan berbincang. Macam mana nak santuni mereka kalau tak berjumpa,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan di Kompleks Pusat Islam.

Sebelum ini Mujahid pernah meminta masyarakat agar tidak merumuskan pertemuannya dengan wakil komuniti transgender, Nisha Ayub sebagai isyarat beliau bersetuju dan mengiakan perjuangan dan perbuatan LGBT.

Mujahid juga berkata, pertemuannya dengan Nisha di Kompleks Islam Malaysia itu adalah atas permintaan aktivis transgender tersebut dan beliau menerima kehadiran Nisha bagi menyelami serta memahami isu berkaitan transgender, khususnya peranan institusi agama dalam menangani permasalahan berkenaan.

Mujahid berkata disebabkan itu kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah kementeriannya ingin membawa konsep Islam “Rahmatan Lil Alamin” dalam negara ini.

Beliau berkata masyarakat boleh membenci kemungkaran itu tetapi tidak boleh membenci pelakunya.

“Dosa tetap dosa, salah tetap salah, dan mungkar tetap mungkar. Tetapi kita kena bimbing mereka (pelaku) itu ke jalan yang benar melalui konsep Rahmatan Lil Alamin.

“Seperti contoh kita ada anak dan anak buat salah. Kita tidak suka kesalahan dia tetapi apa kita buat, kita akan bimbing anak kita bahawa kesalahan yang dilakukan tidak betul dan salah.

“Adakah rakyat Malaysia mahu saya jadi menteri yang melihat sahaja kemungkaran dan membenci pemungkar, mengherdik, mencaci dan menghina. Adakah rakyat Malaysia mahu saya begitu, saya fikir tidak.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.