
Sunny Leone adalah selebriti Bollywood terkini yang diiktiraf menjadi patung lilin selepas Amitabh Bachchan, Virat Kohli, Shah Rukh Khan, Anil Kapoor, Madhuri Dixit, Depika Padukone dan lain-lain di muzium lilin Madame Tussauds di New Delhi.
Selain pemain Bollywood, patung lilin Perdana Menteri India, Narendra Modi dan bapa kemerdekaan negara itu, Mahatma Gandhi turut dipamerkan di muzium tersebut.
Nampaknya, bekas pelakon porno, Sunny Leone atau nama sebenarnya Karenjit Kaur Vohra yang menyertai dunia Bollywood menerusi filem ‘Jism’ iaitu ‘tubuh’ dalam bahasa Hindi pada tahun 2012, mula menerima ‘pengiktirafan’ daripada negara yang turut diduduki majoriti rakyat berpemikiran konservatif.
Lahir dalam keluarga Sikh Punjabi, Leone, 37, berkata, “Saya sangat gembira dan kagum dengan patung ini. Ramai orang yang terlibat dalam membentuk patung lilin ini dengan memastikan ia merefleksi bentuk badan saya yang sebenar. Saya menghargai kerja keras mereka. “Madame Tussauds adalah daya tarikan ‘one-of-a-kind’ dan saya gembira diberi penghormatan yang luar biasa ini. ”

Menariknya, patung lilin Sunny Leone dibuat menggunakan aroma minyak wangi kegemarannya.
Lebih 200 ukuran dan gambar diambil bagi membentuk patung lilin tersebut.
Suami Sunny Leone, Daniel Weber juga akui bangga dan gembira dengan patung lilin isterinya.
“Ia satu kejayaan dan pengiktirafan. Saya tiada kata-kata untuk meluahkan perasaan saya. Sunny, anda kini selama-lamanya di Madame Tussauds! Kamu ikon sebenar!,” katanya.
Sunny yang menyertai rancangan realiti Bigg Boss sebelum menyertai dunia Bollywood turut memainkan watak penting dalam filem seperti Jackpot, Ragini MMS 2, Ek Paheli Leela dan sebuah dokumentari web berjudul, Karenjit Kaur: The Untold Story Of Sunny Leone.
Awalnya, ramai khususnya pemimpin-pemimpin politik dan agama menentang penglibatan Sunny seorang warga Amerika berbangsa India untuk terlibat dalam dunia hiburan Bollywood.
Mereka mengandaikan bintang porno itu akan hanya menggandakan kes rogol di India selain dia bukan figura wanita India yang beretika. Dia juga disifatkan sebagai seorang wanita yang jijik dan kotor.
Apapun, Sunny berkata, kewujudan patung lilin itu membuktikan “pendirian dan kebebasan seorang wanita” dan “wanita berhak melakukan apa yang mereka suka”.