
Menurut laporan media tempatan, hampir 40 sekolah swasta di Bengaluru, hab komersial di selatan India, menerima ancaman bom melalui e-mel, manakala kira-kira 45 sekolah di ibu negara turut menerima mesej serupa.
Polis bersama pasukan pemusnah bom dan anjing pengesan bahan letupan dikejarkan ke sekolah terbabit sejurus menerima maklumat mengenai e-mel ancaman berkenaan.
Sebahagian besar sekolah telah dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga, namun tiada bahan letupan ditemukan dalam pemeriksaan.
Beberapa sekolah di New Delhi dan kawasan lain turut menerima ancaman bom tanpa nama awal minggu ini.
Pada Rabu, Agensi berita Press Trust of India (PTI) melaporkan e-mel berkenaan dihantar melalui rangkaian yang disulitkan, menjadikannya sukar dikesan.
“Menjejak seseorang di laman web gelap ibarat mengejar bayang-bayang dalam bilik penuh cermin. Saat anda fikir sudah menemui petunjuk, ia lenyap di sebalik satu lagi lapisan tanpa nama,” kata seorang pegawai polis New Delhi seperti yang dipetik.