
Bercakap kepada FMT, bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata pihaknya sedang mengkaji sistem yang diamalkan di peringkat Persekutuan sejak 1955 dan negeri pada 1954.
“Semua masuk dalam kajian kita. Kita tengok apa baik, apa buruk dan Bersih 2.0, mereka dalam jawatankuasa kita.
“Tidak ada sistem yang sempurna dan kita sedang kaji banyak sistem yang ada. Mungkin kita akan ubah seluruhnya dan mungkin akan ubah sebahagiannya,” katanya.
Isnin lalu, cadangan Bersih 2.0 untuk mengkaji semula FPTP mendapat sokongan Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Wan Saiful Wan Jan.
Wan Saiful berkata sistem FPTP yang digunakan di Malaysia ketika ini tidak melahirkan persaingan yang sihat jika wujud lebih daripada 2 parti.
Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga bersetuju dengan cadangan supaya sistem dan proses pemilihan calon pilihan raya yang FPTP amalkan ketika ini dikaji semula.
Syed Saddiq mengesyorkan satu jawatankuasa pemilihan parlimen (parliamentary select committee) dibentuk untuk memastikan isu ini dapat diteliti dengan menyeluruh dan melibatkan semua parti-parti yang ada.
Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata SPR dan jawatankuasanya sedar untuk mengkaji sistem FPTP dan akan melihat sistem mana yang sesuai untuk digunakan dalam negara.
Beliau berkata jawatankuasanya juga akan berpandukan kepada negara maju.
“Kita akan ada mesyuarat, transaksi dan ada perhubungan banyak lepas ini untuk siapkan kajian ini,” katanya.
Beliau menambah, Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya sedang mengaturkan perjumpaan dengan banyak pihak termasuk dari luar negara.
“Ini bagi beri bantuan kepada jawatankuasa kita. Setakat ini berjalan dengan baik,” katanya.
Jawatankuasa itu dianggotai 11 orang termasuk Ketua Penerangan PPBM Datuk Kamarudin Md Nor, Ahli Majlis Tertinggi PPBM Datuk Nordin Salleh, Timbalan Ketua Biro Strategi dan Dasar Wan Saiful Wan Jan dan penyelidik pendemokrasian dan pilihan raya Prof Madya Faizal Hazis dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Jawatankuasa itu diberi tempoh 2 tahun untuk menyiapkan cadangan kepada kerajaan.