‘Ini janji saya kepada rakyat Sabah’, kata Anifah Aman

‘Ini janji saya kepada rakyat Sabah’, kata Anifah Aman

Ahli Parlimen Kimanis berjanji akan keluar parti sekiranya Umno dan Barisan Nasional tidak boleh mengembalikan hak Sabah dan Sarawak.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman berkata tindakan keluar Umno hari ini kerana janjinya kepada rakyat Sabah.

Beliau berkata janji itu ialah dia akan meninggalkan Umno dan Barisan Nasional jika gabungan itu tidak boleh mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak yang diperuntukkan Perjanjian Malaysia 1963.

“Saya pernah berjanji kepada para pengundi di Parlimen Kimanis dan rakyat Sabah sebelum ini bahawa saya akan meletakkan jawatan di dalam parti sekiranya Umno dan Barisan Nasional gagal menunaikan janji dalam perkara-perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963.

“Tanpa Umno dan Barisan Nasional di tampuk kekuasaan, perjuangan saya tidak akan membuahkan hasil,” katanya, merujuk kepada perubahan kerajaan persekutuan selepas pilihan raya umum ke-14.

Bekas menteri luar negeri ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli majlis tertinggi Umno dan secara rasmi keluar parti pagi tadi.

Anifah pemimpin tertinggi dan terkanan Umno kedua yang meninggalkan parti itu pasca PRU14, selepas Mustapa Mohamed semalam.

Beliau berikrar akan meneruskan perjuangan mendesak hak Sabah dan Sarawak dipulihkan.

“Kerajaan Pakatan Harapan harus komited melaksanakan janji-janji mereka terutama mengembalikan hak Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.