Mesyuarat MA63 tak bincang cabaran Sarawak di mahkamah, kata menteri negeri

Mesyuarat MA63 tak bincang cabaran Sarawak di mahkamah, kata menteri negeri

Abdul Karim Rahman Hamzah berkata tindakan undang-undang di mahkamah tidak sepatutnya dicampur dengan rundingan berterusan berkaitan MA63.

Karim Rahman Hamzah
Abdul Karim Rahman Hamzah berkata perbincangan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan tumpu isu belum diselesaikan berkaitan perjanjian itu.
PETALING JAYA:
Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) 2 Mac depan tidak akan membincangkan cabaran undang-undang kerajaan Sarawak di Mahkamah Persekutuan terhadap tiga undang-undang petroleum Persekutuan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata isu itu tidak wajar digabungkan dengan perbincangan MA63 kerana perkara berasingan, lapor The Borneo Post.

Katanya, kes itu telah difailkan di Mahkamah Persekutuan yang wajar diserahkan sepenuhnya kepada proses perundangan dan tidak perlu diulas lanjut.

Sebaliknya, Abdul Karim berkata mesyuarat MA63 akan memberi tumpuan kepada isu-isu MA63 yang masih belum diselesaikan, termasuk cadangan menyerahkan kuasa berkaitan pelancongan kepada Sarawak serta pemulangan tanah milik Persekutuan di negeri itu yang tidak dibangunkan melebihi lima tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkata mesyuarat tersebut juga akan membincangkan isu kesihatan dan pendidikan, geran khas tahunan, serta jumlah kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada Sarawak.

Kerajaan Sarawak sebelum ini memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahihan Perlembagaan dan keberterusan pemakaian tiga undang-undang Persekutuan, iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966.

Menurut kerajaan negeri, undang-undang itu memberi kesan terhadap sempadan Sarawak yang ditetapkan sebelum pembentukan Malaysia, serta hak negeri itu ke atas sumber petroleum di kawasan luar pesisir dalam sempadan berkenaan.

Terdahulu hari ini, Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Mustapha Sakmud, berkata kerajaan Persekutuan menghormati keputusan kerajaan Sarawak dan akan menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.