Putrajaya sudah bayar kontraktor kawalan keselamatan sekolah

Putrajaya sudah bayar kontraktor kawalan keselamatan sekolah

Kementerian Pendidikan berkata, hanya syarikat yang mempunyai masalah dokumentasi dan belum membuat tuntutan tidak dibayar.

Kementerian Pendidikan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan PPKKM mengenai isu pembayaran perkhidmatan kontraktor kawalan keselamatan sekolah dan isu lain. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Semua syarikat perkhidmatan kontraktor kawalan keselamatan sekolah sudah mendapat bayaran sehingga Jun lalu, melainkan syarikat yang mempunyai masalah dokumentasi dan yang belum membuat tuntutan.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pendidikan menjelaskan sebahagian syarikat turut dibayar tuntutan Ogos lalu, berdasarkan kesempurnaan tuntutan yang dibuat.

Ia berkata, bayaran juga dibuat bagi kontraktor pembekal bekalan makanan bermasak serta kebersihan bangunan dan kawasan, iaitu sehingga Ogos bagi yang membuat tuntutan dengan dokumentasi lengkap.

“Perbincangan lanjut akan diadakan dengan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) mengenai isu pembayaran ini dan juga dari aspek kualiti perkhidmatan syarikat keselamatan, isu ketiadaan Sijil Lulus Tapisan Keselamatan dan keperluan kursus Certified Security Guard (CSG).

“Perbincangan tersebut juga perlu diadakan untuk mengesahkan sejauh mana benarnya syarikat-syarikat yang dikatakan tidak mendapat bayaran sejak 6 bulan lalu dan sebab-sebabnya.”

Kenyataan itu berkata, Kementerian Pendidikan bersama Kementerian Kewangan akan memastikan bayaran ke atas tuntutan yang dikemukakan kontraktor yang membekalkan perkhidmatan masing-masing.

Pada 14 September lalu, Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) mendakwa kerajaan tidak membayar perkhidmatan kontraktor kawalan keselamatan sekolah seluruh negara sejak 6 bulan lalu yang dianggarkan melebihi RM100 juta.

Kementerian Pendidikan berkata, kementerian itu dan Kementerian Kewangan sudah mengadakan perbincangan dengan PPKKM 6 September lalu.

“Justeru, tindakan susulan sedang diambil oleh kerajaan dalam menangani isu-isu berbangkit.

“Di samping itu, isu-isu yang perlu melibatkan perbincangan lanjut dengan agensi-agensi lain yang berkaitan juga dalam tindakan Kementerian Pendidikan. Ini termasuklah mengadakan pertemuan susulan dengan PPKKM.”

Kini, terdapat 300 syarikat pembekal kawalan keselamatan bagi sekolah di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.