PP arah penternak khinzir patuh peraturan berikutan ancaman pencemaran

PP arah penternak khinzir patuh peraturan berikutan ancaman pencemaran

Surat amaran dikeluarkan kepada penternak yang tidak mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan

Pulau Pinang menghasilkan kira-kira 300,000 ekor khinzir setahun, dengan sebahagian besarnya dieksport dari 400 ladang yang bertaburan di kawasan pulau dan di Seberang Perai. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Kerajaan Pulau Pinang berikrar mengambil tindakan tegas terhadap 2 ladang khinzir yang beroperasi di Gertak Sanggul di sebelah barat daya pulau itu yang didakwa melepaskan sisa kumbahan tidak terawat ke dalam laut.

Pengerusi Jawatankauasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Afif Baharuddin berkata kumbahan tak terawat itu bukan sahaja memberi kesan ke atas penduduk yang tinggal sepanjang pantai dengan bau busuk tetapi juga menggugat tangkapan nelayan di situ.

Katanya 2 ladang khinzir itu masing-masing dikenakan kompaun RM250 di bawah undang-undang majlis. Beliau berkata terdapat 3 ladang haiwan itu beroperasi di Gertak Sanggul tetapi hanya 2 masih beroperasi.

“Saya kecewa dengan perbuatan tidak bertanggungjawab sesetengah penternak khinzir yang gagal menyelia ladang mereka dengan baik.

“Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dan bertindak tegas terhadap penternak khinzir yang tidak mematuhi prosedur ditetapkan.

“Kita juga berharap lebih banyak ladang khinzir terbuka menukar operasi mereka kepada ladang tertutup,” katanya ketika dihubungi.

Sejak sekian lama, Gertak Sanggul terkenal dengan penternakan khinzir di mana terdapat 10 ladang beroperasi di situ 20 tahun lepas, dan menjadi kegiatan ekonomi penting di bandar kecil tersebut selain sebuah komuniti nelayan yang besar.

Pulau Pinang menghasilkan kira-kira 300,000 ekor khinzir setahun, dengan sebahagian besarnya dieksport dari 400 ladang yang bertaburan di kawasan pulau dan di Seberang Perai.

Selama berdekad-dekad ladang khinzir di Gertak Sanggul dan banyak tempat di Seberang Perai memberi kesan buruk ke atas alam sekitar.

Sisa kumbahan ladang tidak dirawat di ladang menyebabkan ia mengalir ke sungai atau laut, menimbulkan rasa kurang senang penduduk dan memusnahkan kehidupan marin.

Sabtu lepas akhbar The Star melaporkan ladang khnzir sekali lagi mencemarkan satu kawasan pantai terpencil dengan najis khinzir, berikutan aduan penduduk mengenai bau busuk di kawasan pantai berdekatan. Air laut di situ juga kelihatan berwarna kehitam-hitaman.

Bagi mengatasi masalah ini, pada Nov 2016 Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang meluluskan undang-undang bagi memastikan semua ladang khinzir dijalankan secara tertutup dan sisa kumbahannya dibuang secara betul. Pada masa ini kebanyakan ladang khinzir beroperasi secara terbuka.

Di bawah Enakmen Penternakan Babi Pulau Pinang 2016, penternak yang melanggar garis panduan ketat berhadapan hukuman denda atau penjara maksimum 3 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun undang-undang itu hanya akan berkuatkuasa pada 1 Jan 2020 bagi memberi masa kepada pengusaha mencari sumber bagi menaik taraf ladang mereka. Pada masa ini undang-undang majlis tempatan dan kerajaan pusat terpakai ke atas penternak khinzir di negeri ini.

Penternak diberitahu supaya mengemukakan pelan bangunan “tertutup” mereka kepada majlis tempatan pada 31 Dis tahun ini.

Daripada 385 ladang khinzir di Pulau Pinang, hanya 15 daripadanya menukar ladang mereka kepada sistem tertutup sehingga Ogos tahun ini, kata kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.