
Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR dan juga ketua umum Pakatan Harapan berkata, pengalaman dipenjarakan selama 11 tahun menjadikan beliau seorang yang cukup memahami masalah rakyat, khususnya derita golongan bawahan apabila menjadi pemimpin nanti.
“Ada pandangan sinis yang mengatakan saya sudah tua dan tidak lagi relevan (untuk kembali ke dalam kerajaan),” katanya berucap dalam Majlis Makan Malam Pidato Malaysia Baru: Mengisi Harapan Rakyat, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya malam ini.
Anwar menjelaskan semasa di penjara, beliau banyak bergaul dengan golongan bawahan yang hampir 90% ialah penghuni penjara dan warga asing.
“Saya pernah menyaksikan anak muda yang dipenjarakan kerana hanya mencuri seluar jeans dan warga asing yang datang ke sini untuk mencari rezeki, tetapi ditipu dan dihukum penjara.”
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum ke-14 mengosongkan kerusi itu untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya kemudian mengesahkan menerima notis pemakluman pengosongan kerusi Parlimen itu dan akan mengadakan mesyuarat.
Anwar bakal bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson untuk kembali ke Dewan Rakyat.